Rabu, 12 Oktober 2011

Takziah buat keluarga allahyarham Ahmad Jais

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS merakamkan takziah kepada keluarga penyanyi veteran Datuk Mohd Jais Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ahmad Jais yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), semalam.

Pemergian allahyarham, menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, satu kehilangan besar kepada dunia hiburan negara.

"Saya peminat nombor satu lagu-lagu allahyarham. Beliau telah memberi sumbangan besar dalam menghiburkan masyarakat dengan lagu-lagu dendangannya," katanya.

Allahyarham Ahmad Jais, 75, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9.20 pagi semalam dipercayai akibat masalah paru-paru.

Jenazah Allahyarham dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Negeri Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam semalam.

Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Selamat Hari Raya’ dan ‘Budi Setahun Segunung Intan’ yang dinyanyikan bersama Kartina Dahari itu dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak dua minggu lepas kerana kesukaran bernafas.

"Kita doakan semoga roh allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang beriman," ujar Mahfuz lagi.

Allahyarham Ahmad Jais meninggalkan lima orang anak dan isterinya, Mas Halilah Mas Nayeem telah meninggal dunia pada 22 Jun 2009.

Persembahan terakhir allahyarham ialah pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 11 September lepas yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tiada ulasan: