Khamis, 13 Oktober 2011

SPDP dijangka pecat lima wakil rakyat


MALAYSIA KINI
Lima wakil rakyat Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), digelar 'SPDP Five' yang dirujuk ke jawatankuasa disiplin parti, semalam berkata mereka telah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Presiden SPDP Tan Sri William Mawan dalam menyelesaikan konflik semasa parti
itu.

Kelima-lima mereka ialah Naib Presiden kanan Datuk Peter Nansian Ngusie (DUN Tasik Biru), Naib Presiden Datuk Sylvester Entri Muran (DUN Marudi), Naib Presiden Datuk Dr Tiki Lafe (Parlimen Mas Gading), anggota Majlis Tertinggi (MT) Rosey Yunus (DUN Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (DUN Batu Danau).

"Apa yang memaksa kami membuat keputusan ini ialah jika presiden benar-benar mahu menyelesaikan konflik dalaman ini, sebuah jawatankuasa perdamaian atau perpaduan perlu ditubuhkan, bukannya jawatankuasa disiplin mengambil tindakan terhadap kami, yang kami rasakan sangat tidak adil dan dilakukan semata-mata untuk menyingkirkan kami," kata Nansian pada sidang media di Kuching.

Kecuali Dr Tiki, yang terpaksa menghadiri majlis lain di Bau atas kedudukannya sebagai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, wakil rakyat yang hadir ialah Entri (Menteri Muda Kemudahan Awam), Rosey (Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga) dan Paulus.

Sementara menunggu keputusan jawatankuasa disiplin parti, kelima-lima mereka dijangka dipecat daripada parti kerana gagal menghadiri mesyuarat MT sejak dua tahun lepas setelah menyerbu keluar daripada satu mesyuarat MT berikutan perselisihan faham dengan parti pada 23 Jan 2010.

Bagaimanapun, Nansian berkata kumpulan itu, yang dilabelkan sebagai 'Rebels Five' dan 'Group of Five' telah menghulurkan salam perdamaian dan mempersetujui banyak perkara berhubung cara berdamai serta bekerjasama untuk mengekalkan kestabilan parti dan menjadikan parti lebih kuat tetapi Mawan belum lagi melaksanakannya dengan sewajarnya.

"Kami masih mencari penyelesaian terbaik menerusi kaedah paling baik tetapi jangka masa untuk menyelesaikan konflik ini tidak penting," katanya sambil menambah, kumpulan berkenaan belum mendapatkan pandangan kepimpinan Barisan Nasional (BN) negeri atau pusat berhubung perkara itu.

Beliau berkata masalah tidak akan wujud dalam parti pada hari ini, termasuk kekalahan dua kerusi dalam pilihan raya negeri April tahun ini, sekiranya Mawan mengekalkan status quo barisan calon dalam pilihan raya parti pada 2009.

Beliau mempersoalkan keputusan Mawan untuk menggantikan penyandang beberapa jawatan yang dilantik, termasuk Setiausaha Agung, yang ketika itu disandang oleh Entri dan digantikan dengan Nelson Balang Rining, penyandang DUN Ba'Kelalan, yang tidak dicalonkan semula dalam pilihan raya negeri.

Pengganti beliau, Willie Liau gagal mempertahankan kerusi itu.

"Sungguhpun kami sentiasa ingin bekerjasama rapat dengan parti komponen lain dalam BN, kami dicap sebagai calon parti komponen BN yang lain dan pemimpin parti komponen BN yang lain menuduh kami mencampuri urusan dalaman parti itu," katanya, sambil menambah mereka tidak menyimpan dendam terhadap presiden parti atau sesiapa sahaja dalam SPDP.

Beliau berkata kelima-lima pemimpin itu hanya tidak bersetuju dengan pengurusan parti yang dapat menjejaskan kekuatan BN dan keupayaannya untuk berkhidmat kepada rakyat dengan baik.- Bernama

Tiada ulasan: