Rabu, 12 Oktober 2011

Skandal telekom: India minta bantuan Malaysia siasat Ananda Krishnan, Marshall


KUALA LUMPUR – Agensi yang menguruskan tukaran asing India mahu mendapatkan bantuan Malaysia untuk menyoal siasat orang kaya T. Ananda Krishnan dan ketua pegawai kanannya Ralph Marshall berhubung skandal telekomunikasi Maxis-Aircel.

Akhbar dari Mumbai, The Indian Express berkata Enforcement Directorate (ED) negara itu mula meningkatkan siasatan ke atas operator mudah alih Aircel.

ED ditubuhkan untuk menangani ketirisan mata wang asing menerusi aktiviti penyelewengan.

“Pegawai-pegawai ED juga akan mendapatkan bantuan perundangan untuk menyoal Krishnan dan Marshall,” kata akhbar itu hari ini.

Awal minggu ini pihak berkuasa India memfailkan kes terhadap Ananda Krishnan (gambar) dan Marshall bersama seorang bekas menteri telekomunikasi negara itu dan adiknya berhubung tuduhan konspirasi jenayah membabitkan urusan telekomunikasi Maxis dan Aircel.

Bekas menteri itu ialah Dayanidhi Maran dan adiknya bernama Kalanidhi.

Biro Siasatan Pusat telah mengadakan serbuan ke atas premis kedua-dua beradik di New Delhi dan Chennai.

Bekas ketua Aircel C Sivasankaran mendakwa bahawa Dayanidhi Maran ketika menjadi menteri telah bertindak memihak kepada Kumpulan Maxis dalam pengambilalihan syarikat itu dan sebagai ganjaran pelaburan dibuat oleh syarikat itu menerusi rangkaian Astro di Sun TV dimiliki oleh keluarga Maran.

The Indian Express melaporkan bahawa pegawai-pegawai ED telah merampas dokumen-dokumen kewangan dari rumah adik-beradik Maran di New Delhi, Chennai dan Hyderabad.

Selain adik-beradik Maran, Ananda, Marshall dan syarikat-syarikat Malaysia, Biro Siasatan Pusat India juga menamakan syarikat penyiaran televisyen keluarga Maran, Sun TV Network.

Memetik sumber-sumber ED, akhbar itu melaporkan bahawa dokumen-dokumen kewangan Sun TV, Maxis Communications, Aircel dan Astro akan diteliti untuk mengesan aliran wang membabitkan Rs630 juta yang disebut dibayar kepada Sun TV.

Tiada ulasan: