Ahad, 9 Oktober 2011

Sewa Atas Sewa Antara Punca Kemelut Penyewa PKNS

Oleh Afeeqa Afeera


BATU CAVES : Kerajaan Selangor akan mengkaji semula pengstrukturan kewangan anak syarikatnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi menyelesaikan kemelut kenaikan harga sewa premis itu yang didakwa membelenggu penyewa, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Khalid, beliau telahpun bertemu dengan penyewa dan peniaga di premis berkenaan untuk memberi penerangan serta mendengar keluhan mereka dengan lebih dekat seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Jelasnya, hasil pertemuan tersebut menunjukkan bahawa penyewa sebenarnya tidak gusar akan kenaikan harga sewa yang bakal dikenakan, sebaliknya mereka mempersoalkan mengapa lebihan untung yang diperoleh PKNS hanya berjumlah RM1 juta sehingga tidak cukup untuk menaiktaraf premis tersebut.

"Pendapatan PKNS untuk bangunan empat tingkat itu adalah RM11 juta setahun. RM10 juta daripadanya digunakan untuk menjaga dan mengurus bangunan tersebut manakala selebihnya untuk menyelenggara dan membaikpulih.

Sebenarnya semua tapak yang disewa dikenakan harga RM3 untuk satu kaki tetapi kebanyakan penyewa mengambil kesempatan menyewakan semula tapak tersebut kepada peniaga lain (sewa atas sewa) dengan mengenakan harga yang tinggi iaitu RM100 sehari. Sewa yang dikenakan tersebut tidak termasuk dalam keuntungan PKNS. Kita akan siasat perkara itu," katanya.

Khalid berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri Program Jelajah Pemerkasaan Desa 2011 dan Majlis Pelancaran Logo Selangorku di Kompleks Muhibah, Taman Bolton di sini petang tadi.

Hadir sama, Exco Selangor Dr Yaakob Sapari dan Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali.

Tambah beliau, penyewaan secara 'haram' itu akan dihentikan supaya keuntungan yang diperoleh nanti dapat disalurkan ke PKNS selayaknya bagi melancarkan urusan pentadbiran di premis tersebut.

"Tindakan yang dilakukan kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat untuk berhadapan dengan penyewa itu membuktikan pengurusan yang diamalkan adalah telus, terbuka dan teratur tanpa ketirisan," ujarnya.

Tiada ulasan: