Rabu, 12 Oktober 2011

Sedia pakar bedah seluruh negara

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Kerajaan BN, khususnya Kementerian Kesihatan, diminta lebih prihatin terhadap masalah kesihatan rakyat dengan menyediakan pakar bedah yang mencukupi di seluruh negara.

Ahli Parlimen Pkok Sena, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, sehingga kini negara kita ternyata masih kekurangan pakar-pakar bedah termasuk di hospital-hospital utama di negeri-negeri di seluruh negara.

Menurut beliau, realiti itu antara lain boleh dirujuk di Hospital Besar Alor Star, Kedah yang ternyata amat kekurangan pakar bedah sejak dulu.

Katanya, keadaan itu amat menyusahkan orang ramai yang memerlukan perkhidmatan daripada pakar bedah sehingga menyebabkan mereka terpaksa mendapatkannya di hospital-hospital di negeri lain.

"Di Kedah katakan, disebabkan tak ada pakar bedah, takkanlah orang ramai mesti menyeberang Jambatan Pulau Pinang sepanjang masa untuk mendapatkan perkhidmatan pakar bedah di Pulau Pinang," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata demikian ketika mencelah ucapan Ahli Parlimen Arau, Datuk Ismail Kasim sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 bacaan kali kedua pada Persidangan Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Menurut Mahfuz, kekurangan pakar-pakar bedah itu pasti amat dirasai oleh rakyat, setelah mereka juga dikenakan bayaran setiap kali ke hospital-hospital kerajaan untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan perubatan walaupun sebanyak RM1.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali pula ketika bangun mencelah kesal dengan sikap isteri Duta Besar Malaysia ke Filipina.

Dalam satu kenyataannya baru-baru ini, menurut beliau, isteri Duta Besar Malaysia ke negara itu telah secara terang-terangan mengutuk salah seorang pejuang yang dihormati di negara itu.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, meskipun Duta Besar Malaysia Ke Filipina sendiri tidak melakukannya, tetapi isterinya yang terlebih sehingga tergamak mengutuk pejuang di Filipina.

"Sikap isteri Duta Besar Malaysia ke Filipina itu jelas menunjukkan beliau lebih berkuasa daripada suaminya sendiri. Di negara kita juga terdapat isteri yang lebih berkuasa daripada suami seperti itu," katanya kesal dengan nada menyindir.

Tiada ulasan: