Selasa, 11 Oktober 2011

Pemimpin Umno sepakat pilihan raya tahun depan

"Kalau dalam masa terdekat, saya rasa tidak," kata ahli parlimen Kota Belud ketika dihubungi hari ini.



PETALING JAYA: Beberapa pemimpin Umno meramalkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 akan diadakan pada awal atau pertengahan tahun depan.

Setiausaha Umno Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahalan berkata, beliau berkeyakinan PRU akan diadakan dalam tempoh enam bulan dari sekarang iaitu selepas Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) selesai membahaskan isu penambahbaikan dalam sistem piilihan raya di Malaysia.

“Kalau dalam masa terdekat, saya rasa tidak,” kata ahli parlimen Kota Belud itu ketika dihubungi hari ini.

PSC yang dianggotai oleh lima ahli parlimen dari Barisan Nasional (BN), tiga Pakatan Rakyat dan seorang bebas dijangka memulakan perbahasan akhir bulan ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Majlis Penerangan Perdana BN Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur semalam bahawa PRU 13 sangat dekat.

Walaupun beliau tidak menyebut tarikhnya tetapi secara berseloroh berkata ‘sehari dua lagi’.

Manakala Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, isyarat pilihan raya sudah kelihatan sekarang.

“Isyarat yang biasa menandakan pilihan raya semakin hampir ialah apabila ada ucapan dari perdana menteri ke arah itu dan gerakan jentera pilihan raya bermula. Jadi mengambil kira faktor-faktor itu, saya kira PRU ke 13 tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata, Najib perlu membubarkan Parlimen selepas dapat mendaftarkan semua penerima bantuan RM500 kepada keluarga berpendapatan RM3,000 sebulan.

“Jika janji ini dapat dilaksanakan tepat pada masanya maka sokongan kepada BN akan meningkat secara mendadak. Tetapi, jika janji itu tidak dibuat, ia akan memberi kesan buruk kepada BN. Orang akan kata, janji Perdana Menteri tidak boleh dipercayai,” katanya.

Tiada ulasan: