Rabu, 19 Oktober 2011

Pemimpin Gerakan keluar parti, kecewa dengan Koh

MALAYSIA KINI

Seorang pemimpin bahagian Gerakan di Kedah mengambil keputusan meninggalkan parti itu kerana tidak gembira dengan pucuk pimpinan Tan Sri Koh Tsu Koon.

Setiausaha penganjur Gerakan Kedah dan Ketua Bahagian Padang Serai, Tang Hiang Lye berkata beliau membuat keputusan itu kerana percaya Koh tidak berupaya membawa sebarang pembaharuan kepada parti dan kerajaan.

"Saya bukan oportunis tetapi sekadar marah. Saya tidak fikir akan berlaku sebarang perubahan dalam parti," katanya apabila dihubungi.

Tang menjelaskan beliau tidak berniat untuk melukakan Gerakan tetapi hanya merasakan tidak perlu untuk beliau berada lebih lama dalam parti itu ekoran beberapa gesaan dan cadangan untuk parti berubah tidak diendahkan.

gerakan ndc 161011 koh tsu koon tan lian hoe"Sekiranya Dr Koh sanggup meletak jawatan dalam tempoh dua bulan lagi dan menyerahkannya kepada orang yang boleh melakukan perubahan, maka saya akan mempertimbangkan untuk menyertai semula Gerakan.

"Namun saya tidak fikir, beliau (Koh) akan berbuat demikian," katanya.

Pengerusi Gerakan Kedah, Dr Cheah Soon Hai mengesahkan Tang telah keluar parti walaupun pelbagai usaha telah dibuat untuk memujuknya.

Beliau berkata Jawatankuasa Kerja Gerakan Negeri Kedah akan bermesyuarat hari ini untuk membincangkan perkara tersebut termasuk kemungkinan Gerakan negeri mengambil alih bahagian Padang Serai.- Bernama

Tiada ulasan: