Jumaat, 21 Oktober 2011

Peguam Muslim: Himpun tiada pilihan kerana ‘dialog kadang-kadang gagal’


KUALA LUMPUR — Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) berkata Himpunan Sejuta Umat (Himpun) esok terpaksa diadakan kerana isu gejala pemurtadan umat Islam tidak dapat diuruskan dengan baik kerana saluran “dialog kadang-kadang gagal mencapai matlamat.”

Presiden PPMM Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Himpun bertujuan mahu menzahirkan rasa tidak puas hati umat Islam atas gejala pemurtadan umat Islam yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun pemimpin peguam ini tidak menyatakan perangkaan. Isu murtad akan menjadi fokus agenda esok.

Sehubungan itu kata beliau, perhimpunan esok bukan bertujuan untuk menimbulkan ketegangan antara umat Islam dan orang bukan Islam kerana Islam itu sendiri menganjurkan toleransi beragama.

“Kepedulian umat Islam yang menyertai Himpun adalah terhadap segelintir orang bukan Islam dan orang Islam yang menganut fahaman liberal masih menyanggah undang-undang yang berkuatkuasa memurtadkan umat Islam,” kata beliau dalam satu kenyataan.

“Sekali lagi ditegaskan Himpun bukan melancarkan peperangan terhadap mana-mana pihak tetapi hanya manifestasi kepedulian umat yang sayangkan aqidah Islam.

“Perhimpunan juga bukanlah suatu yang asing dalam Islam kerana Islam sendiri menganjurkan perhimpunan seperti semasa menunaikan haji dan solat berjemaah,” kata beliau.

PPMM juga kata beliau, sebagai salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang membentuk Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menyokong Himpun dan akur ia bukan satu-satunya wadah bagi memartabatkan Islam dan menyatukan akidah umat Islam, tetapi kesemua wadah tersebut perlu diambil termasuklah transformasi sistem pendidikan, pengagihan zakat sistem sosial dan politik.

Himpun yang menyasarkan lebih 100,000 orang mewakili lebih 2,000 pertubuhan bukan kerajaan.

Kata Zainul Rijal, himpun tidak dinaungi oleh mana-mana parti politik tetapi parti politik dijemput hadir bagi menzahirkan kesatuan umat Islam tanpa mengira ras, bangsa dan ideologi politik.

“Dakwaan bahawa Himpun mempunyai agenda politik tertentu adalah tidak benar dan ia merupakan andaian semata-mata.

“Setakat ini, PPMM telah dimaklumkan bahawa tidak ada rujukan yang dibuat kepada Sekretariat Himpun oleh mana-mana pihak bertanyakan apa-apa isu yang dibangkitkan itu termasuklah andaian agenda politik tersebut,” kata Zainul Rijal lagi.

Malah menurut beliau, sepatutnya bagi mendapatkan penjelasan lanjut semua pihak perlu menghubungi Sekretariat Himpun bagi mendapatkan input sebenar bukan melalui pandangan pihak ketiga.

“Prinsip asas ini perlu diamalkan bagi mengelak salah tanggapan terhadap mana-mana pihak,” katanya lagi.

Tiada ulasan: