Selasa, 11 Oktober 2011

Pakatan tadbir S’gor secara telus

Kerajaan negeri berjaya menambah simpanan rezab kepada RM1.1 bilion dalam masa kurang dari lima tahun pemerintahan.



PETALING JAYA: Kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat telah membuktikan kepada rakyatnya bahawa negeri termaju di Malaysia ini boleh ditadbir secara telus, tanpa rasuah, kronisme, pelobi dan orang tengah.

Dalam satu kenyataan media, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin berkata, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menunjukkan cara pentadbiran yang mengamalkan prinsip “Biasakan Yang Betul, Betulkan Yang Biasa.”

Menurutnya, melalui prinsip pentadbiran ini, Selangor berjaya menambah simpanan rezab negeri kepada RM1.1 bilion dalam masa kurang dari lima tahun pemerintahan.

“Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang menanggung kerugian sejak ditubuhkan, buat pertama kali dalam sejarah, tahun ini telah mencatatkan keuntungan RM11 juta.

Namun beliau mengakui terdapat sesetengah pemimpin dalam Pakatan sendiri yang tidak biasa dengan cara ini hingga ada yang mengatakan beliau (Khalid) mentadbir negeri Selangor seperti menguruskan sebuah syarikat korporat.

“Golongan ini sangat kecil jumlahnya namun bersuara agak lantang mungkin kerana kedudukan mereka di dalam parti dan mungkin juga dalam masyarakat.

“Pada saya, korporat atau tidak, rakyat mahukan pentadbiran yang berlandaskan ketelusan, kebertanggungjawab, bebas rasuah dan adil yang tidak pernah dipraktikkan Barisan Nasional (BN) sepanjang memerintah Negeri Selangor,” jelas beliau.

Mengenai percubaan terbaru blog pro Umno yang bersubahat untuk menjatuhkan Menteri Besar, Faekah berkata, sebagai Setiausaha Politik, sudah pasti saya akan pertahankan kedudukan MB jika beliau diserang oleh mana-mana pihak; lawan mahupun kawan.

“Justeru, saya berani mengatakan dakwaan yang dibuat portal berita nyamuk tersebut hanyalah tuduhan tidak berasas dan mempunyai agenda tersendiri.

Beliau menjelaskan bahawa mempertahankan seorang pemimpin yang baik, bersih, telus serta komited terhadap kehendak rakyat adalah ibadah.

“Mana mungkin portal picisan tersebut memanggil saya sebagai dalang sedang seorang dalang adalah merujuk kepada mereka yang ingin menjatuhkan seseorang pemimpin bukan mempertahankannya,” ujar beliau.

Tiada ulasan: