Isnin, 24 Oktober 2011

Nazri enggan jawab peruntukan untuk MP Pakatan

Muhammad Faizal


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof (gambar) meminta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menjelaskan kenapa peruntukan yang dikhususkan kepada setiap kawasan parlimen yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat tidak disalurkan terus kepada ahli parlimen yang dipilih.

"Saya ingin penjelasan dari kerajaan kenapa peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada setiap kawasan parlimen tidak disalurkan terus kepada ahli parlimen yang dipilih terutamanya kawasan yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

"Apa yang kita lihat kerajaan lebih fokus menyalurkan peruntukan tersebut menggunakan Jabatan Pembangunan Persekutuan dan apa bezanya kawasan yang dimenangi Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat," tanyanya sewaktu sesi penggulungan kementerian itu.

Nazri yang bertindak tidak mahu menjawab pertanya tersebut memberi alasan bahawa soalan tersebut selalu dijawab setiap kali sidang parlimen berlangsung dan meminta Siti Zailah merujuk kepada hansard parlimen sebelum ini bagi mendapat jawapan.

Dalam pada itu beliau juga mengatakan jawapannya tetap sama dengan apa yang telah diberitahu sebelum ini sambil menegaskan tiada perubahan jika ia ditanya sekarang.

Tambah Siti Zailah lagi, cadangan kerajaan terhadap kenaikan elaun dan juga peruntukan yang lain kepada ahli parlimen merupakan perkara yang baik tetapi persoalan pertama kenapa peruntukan sebelum ini tidak disalurkan terus.

"Nak beri peruntukan itu cadangan yang baik tapi kerajaan perlu jawap terlebih dahulu kenapa peruntukan yang perlu diberikan kepada kawasan parlimen Pakatan Rakyat disalurkan terus kepada agensi kerajaan.

"Tindakan mengelak untuk memberi jawapan pada soalan saya ini menggambarkan kerajaan tidak ikhlas untuk turut sama membantu kawasan parlimen Pakatan Rakyat," sambungnya lagi.

Nazri yang tetap bertegas tidak mahu menjawab persoalan tersebut malah meminta ahli parlimen yang ingin tahu jawapan perlu merujuk kepada hansard terdahulu.

Tiada ulasan: