Rabu, 12 Oktober 2011

Mahkamah lepaskan pemuda miliki baju T Bersih 2.0

Aslani M

BACHOK: Aktivis masyarakat, Mohd Amizul Fazly Muhamed Sudin, 33 yang ditahan atas dakwaan memiliki t-shirt bertulis perkataan Bersih 2.0 pada Julai lalu hari ini dilepas tanpa dibebas Mahkamah Majistret Bachok.

Majistret Mohd Hafiz Mohd Nor melepaskan tertuduh selepas Timbalan Pendakwa Raya, Wong memaklumkan mendapat arahan Jabatan Peguam Negara supaya tidak meneruskan kes itu.

Ekoran arahan tersebut majistret kemudian melepas tanpa membebas tertuduh. Hadir bersama di mahkamah ahli-ahli keluarga dan pimpinan Pemuda PAS Bachok.

Mohd Amizul Fazly diwakili peguam Firdaus Mohd Yusoff, Mohd Alami Lazim dan Mohd Abd Rashid Yah.

Mohd Amizul yang juga anggota jawatankuasa Pemuda PAS Bachok didakwa mempamer baju T bertulis Bersih 2.0 di sebuah kedai runcit di Kampung Permatang Pauh, Mahligai, Bachok pada awal Julai lalu.

Beliau kemudian ditahan reman selama dua hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok dan didakwa di mahkamah pada 5 Julai di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali.

Bagaimanapun beliau tidak mengaku bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM4,000.

Pendakwaan terhadap Mohd Amizul difahamkan merupakan kes pertama membabitkan perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Sebelum ini pada 26 September lalu seorang peniaga, Zakaria Che Will, 40, yang didakwa menjual sebanyak baju-T berwarna kuning bertulis Bersih di Jalan Datuk Pati di Kota Bharu pada juga dilepas tanpa dibebaskan.

Perbicaraan kes tersebut diadakan di Mahkamah Majistret Tumpat di hadapan Majistret Mohd Hafiz Mohd Nor.

Zakaria diwakili peguam Hatman Abdullah, Mohd Ab Rashid dan Mohd Murtaza Mokhtar, manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussin.

Pada akhir Jun lalu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Hussien menyifatkan orang yang memakai baju berkaitan Perhimpunan Bersih pada 9 Julai lalu sebagai haram.

Sehingga akhir Jun lalu 85 individu ditahan atas dakwaan menjalankan aktiviti mempromosi perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011.

Tiada ulasan: