Jumaat, 7 Oktober 2011

Lesen kelas F diberi kepada bukan Bumiputera

Keputusan kerajaan negeri Selangor itu sangat mencabar kedudukan kontraktor Bumiputera, kata Yang Di Pertua Perkasa negeri, Abdullah Mansor.



PETALING JAYA: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendakwa kerajaan negeri Selangor telah mengeluarkan lesen kontraktor kelas F kepada bukan Bumiputera di negeri itu.

Dakwaan itu dibuat oleh Yang Di Pertua Perkasa Selangor, Abdullah Mansor yang dihubungi pagi ini.

“Keputusan kerajaan negeri Selangor itu sangat mencabar kedudukan kontraktor Bumiputera. Bagaimana kelas F boleh dikeluarkan oleh kerajaan negeri?

“Keputusan itu adalah satu cubaan merampas hak Bumiputera yang telah dipersetujui sekian lama bahawa kelas F hanya untuk mereka,” katanya.

Kementerian Kerja Raya hanya mengeluarkan lesen kontraktor kelas F kepada Bumiputera dengan nilai kerja RM250,000 dan ke bawah.

Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Xavier Jeyakumar mengumumkan kerajaan negeri mengeluarkan sendiri lesen kelas F kepada kontraktor negeri itu tanpa mengira kaum pada 12 September lalu.

Tindakan itu, menurut beliau sebagai usaha memberi peluang sama rata dan lebih menyeluruh kepada semua syarikat-syarikat kontraktor.

Kedai Cina

Bagaimanapun, Abdulalh mendakwa perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri Selangor.

Beliau menambah, kontraktor Bumiputera kelas F masih belum mampu bersaing dengan kontraktor kaum Cina kerana bahan binaan yang dikawal oleh kaum berkenaan.

“Pasir, simen, kayu atau apa saja bahan binaan dibekalkan oleh kedai-kedai kaum Cina.

“Jika projek-projek kelas F diperolehi oleh bukan Bumiputera, kaum Bumiputera tidak akan dapat apa-apa pun. Mereka jadi kuli mereka sahaja,” kata Abdullah.

Beliau mendakwa ramai ahli Perkasa Selangor yang menjadi kontraktor di negeri itu dan meminta Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipersalahkan jika dasar itu kekal.

Katanya, tidak guna ada menteri besar di kalangan orang Melayu jika tidak dapat membantu orang Melayu.

“Lepaslah jawatan itu kepada bukan Bumiputera,” katanya dengan sinis.

Tiada ulasan: