Isnin, 24 Oktober 2011

Hormati hak Hasan Ali sebagai Muslim’

Kehadiran beliau sama sekali tidak menjejaskan integritinya sebagai pegawai kerajaan Selangor, kata MB Selangor.



KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mempertahankan kehadiran Exco Selangor Datuk Dr Hasan Ali ke Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) di Stadium Shah Alam semalam.

Khalid berkata kehadiran Hasan Ali sama sekali tidak menjejaskan integritinya sebagai pegawai kerajaan Selangor malah beliau berhak untuk pergi ke Himpun atas kapasitinya sebagai seorang Islam yang menyokong untuk menyelamatkan akidah masyarakat Islam.

“Secara peribadi saya tiada masalah jika seorang Islam mahu nyatakan sokongan dan itu merupakan hak asasi seseorang,” katanya.

Hasan Ali semalam mencuri perhatian apabila hadir di Himpun walaupun pimpinan PAS berkeputusan melarang ahlinya daripada menyertainya. Dalam Himpun Hasan Ali mengambil alih pentas utama membacakan zikir munajat pada penghujung majlis.

Bagaimanapun beliau semalam tidak memberikan sebarang ucapan atau pun komen mengenai Himpun.

Turut hadir Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzaman Mohamad yang mewakili badan bukan kerajaan (NGO) Front Bertindak Anti Murtad (Forkad) sebagai pengarah.

Tiada ulasan: