Kerajaan negeri tidak melarang mana-mana pegawai kerajaan termasuk Exco menyertai perhimpunan tersebut selagi tidak mencampuri urusan dan masa bekerja.
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan kerajaan negeri tidak terlibat dalam penganjuran Himpunan Sejuta Umat (Himpun), Selamatkan Akidah Umat di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Bagaimanapun, kerajaan negeri katanya, tidak melarang mana-mana pegawai kerajaan termasuk Exco kerajaan negeri menyertai perhimpunan tersebut selagi tidak mencampuri urusan dan masa bekerja.
”Perhimpunan itu dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Kerajaan negeri tidak campur hal ini. Kalau ada ahli NGO yang terdiri daripada pegawai kerajaan (termasuk Exco), terpulang kepada mereka untuk sertai perhimpunan itu.
”Kalau tidak ganggu masa kerja, mereka (pegawai kerajaan dan Exco) boleh lakukan (sertai Himpun),” katanya dipetik laporan sebuah akhbar hari ini.
Himpun di Stadium Shah Alam, Sabtu ini dijangka dihadiri 100,000 umat Islam.
Tidak tunduk kepada tekanan
Dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri Selangor tidak akan akur kepada tekanan yang dibuat oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk memberi keutamaan kepada pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2.
Sebaliknya, kerajaan negeri mengulangi pendirian bahawa rundingan penstrukturan semula industri air Selangor harus diselesaikan terlebih dahulu sebelum usaha pembinaan loji Langat 2 diteruskan, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan media.
Ujar beliau, “adalah amat tidak bermoral bagi pihak-pihak tertentu untuk membuat kenyataan menakut-nakutkan rakyat kononnya krisis air akan berlaku pada tahun 2014 jika loji Langat 2 tidak dibina dengan segera.”
Menurutnya, Lemabaga Urus Air Selangor (Luas) telah berulang kali mengatakan bekalan air mentah lebih dari mencukupi di kesemua tujuh empangan Selangor.
“Desakan pihak yang berkepentingan agar loji Langat 2 dibina terlebih dahulu hanya akan menguntungkan segelintir mereka yang berkepentingan dan sekaligus merugikan rakyat terbanyak,’ jelas Khalid.
Syabas gagal sedia air bersih
Katanya, jika ada masalah bekalan air, ianya berpunca dari kekurangan bekalan air bersih yang disebabkan oleh kegagalan Syabas untuk menyediakan rezab air bersih yang mencukupi.
“Syabas tidak menjalankan penyelenggaraan terhadap loji-loji pembersihan dengan efektif serta gagal mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada tahap yang cukup rendah.
“Sebaliknya mereka terus menekan kerajaan negeri untuk membenarkan pembinaan Langat 2 seolah-olah ia dapat menyelesaikan masalah yang disebabkan oleh kelemahan mereka sendiri,” terangnya.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri hanya akan membenarkan Langat 2 dibina selepas Kerajaan Pusat menyelesaikan rundingan penstrukturan semula industri air yang merupakan penyelesaian holistik serta menguntungkan rakyat seperti yang dihasratkan dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006.
“Bagi memastikan rakyat memahami hasrat Kerajaan Negeri, kami akan melancarkan fasa ketiga “Kempen Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat” yang akan membongkarkan usaha untuk membelakangkan rundingan penstrukturan semula industri air negeri untuk keuntungan pihak yang berkepentingan,” katanya.
Menurut beliau, kempen fasa ketiga ini akan bermula dalam waktu terdekat dan lebih menyeluruh serta melibatkan semua pimpinan Pakatan Rakyat kerana isu ini melibatkan hak dan kepentingan rakyat.
“Bagi memastikan hak rakyat terpelihara, Kerajaan Negeri tidak akan membenarkan kenaikan tarif air seperti yang dipohon oleh Syabas untuk tahun hadapan.
“Kerajaan Negeri melantik juru audit bagi mengaudit operasi Syabas untuk menyemak dan mengesahkan kerja-kerja yang dilaksanakan Syabas seperti penggantian paip dan sebagainya.
Kerja audit ke atas Syabas ini akan dilaksanakan oleh dua firma perakaunan antarabangsa iaitu Tetuan Atkins dan Tetuan Halcrow,” ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan