Khamis, 20 Oktober 2011

Fitnah II: Anwar mahu rayuan sepina Najib, Rosmah didengar dulu


KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR 20 Okt: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rayuannya terhadap pembatalan sepina oleh Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya didengar sebelum hujah akhir daripada peguam dan pihak pendakwaraya.

“Kami telah membuat rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Datuk Mohamad) Zabidin (Mohd Diah) untuk membatalkan sepina yang diberikan kepada Najib dan Rosmah.

“Saya juga tidak mahu kes ditangguhkan lagi tetapi Mahkamah Rayuan perlu mendengar rayuan saya terlebih dahulu. Dalam kes-kes lain, rayuan diputuskan dengan cepat,” kata Anwar.

Ketua pembangkang itu juga mempersoalkan kredibiliti badan kehakiman dan mendakwa kelewatan dalam mendengar rayuan beliau hanya mencerminkan pendakwaan yang tidak adil terhadap dirinya, lapor Malaysiakini.

Pada 6 Oktober lalu, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menerima permohonan Najib dan Rosmah bagi mengenepikan sepina yang memerintahkan mereka hadir memberi keterangan dalam kes Fitnah II.

Keputusan itu mengecewakan peguam kerana menganggap kedua individu itu saksi relevan dalam kes berkenaan.

Ini kerana Najib sebelum ini pernah menemui pengadu dalam kes itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan empat hari sebelum pemuda itu membuat laporan polis dengan memfitnah Anwar meliwatnya pada 28 Jun 2008.

Saiful juga pernah bertemu dengan bekas pembantu khas Rosmah, Datuk Mumtaz Jaafar manakala isteri perdana menteri itu turut bertemu dengan sahabat karib Saiful, Mohd Rahimi Osman.

Kedua-dua individu juga pernah dirakam kenyataannya oleh pegawai penyiasat, DSP Jude Blacious Pereira, yang menjadikan mereka saksi penting dalam kes berkenaan.

Mahkamah pada 18 Oktober lalu menetapkan 23 dan 24 November depan bagi mendengar hujahan akhir kes pembelaan sebelum membuat keputusan itu.

Hakim Zabidin menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar keterangan empat saksi penyanggah yang dikemukakan pihak pendakwaan, bagi mencabar keterangan pakar tulang belakang yang merawat Anwar di Munich, Jerman pada 2004.

Saksi berkenaan bagaimanapun gagal mencabar keterangan Dr Thomas Hoogland yang sebelum ini memberitahu mahkamah Anwar tidak mungkin melakukan perbuatan liwat ekoran masalah tulang belakang yang dihadapinya.

Tiada ulasan: