Khamis, 13 Oktober 2011

Filem seram: Persatuan Penerbit mahu jumpa Mahathir

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) bercadang untuk bertemu dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyelesaikan konflik filem seram dikatakan mengundang kepercayaan karut dan tidak membina masyarakat.

Presidennya, Datuk Paduka Shuhaimi Baba berkata itu adalah langkah terbaik untuk menyelesaikan kemelut berlaku.

Sebelum ini, Dr Mahathir (gambar) berkata, lambakan cerita hantu yang ditayangkan di televisyen dan menerusi filem ketika ini boleh menggalakkan kepercayaan karut yang tidak membantu membina masyarakat berproduktif, termasuk menyelesaikan masalah dengan pendekatan saintifik.

Beliau berkata lambakan cerita hantu yang berasaskan mitos banyak menyumbang kepada serangan histeria di kalangan pelajar perempuan Melayu.

“Filem dan drama televisyen memaparkan kisah hantu hanya menggalakkan kepercayaan tahyul yang tidak mempunyai asas sama sekali.

“Kita, terutama umat Islam, perlu tahu bahawa hanya Allah mempunyai kuasa ke atas segala-galanya,” kata Dr Mahathir.

“Sebagai contoh, dalam bidang perubatan, manusia mempunyai apa yang dipanggil sebagai ‘peripheral vision’.

“Jadi sekumpulan pelajar perempuan di asrama yang bercerita mengenai hantu akan melihat imbasan lembaga atau bayang-bayang melalui ekor mata dan terkena serangan histeria,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia kini perlu memberi tumpuan kepada usaha mencari kaedah lebih saintifik untuk menyelesaikan masalah.

Shuhaimi menjelaskan filem genre memberi nafas baru terhadap momentum filem Malaysia sehingga mendapat pengiktirafan anugerah baik kepada pengarah, penerbitan dan pelakon terbaik di persada festival antarabangsa serta meningkatkan jumlah penerbitan.

“Kami sudah berbincang dengan semua ahli PFM dan inilah jalan terbaik iaitu bertemu Tun dan memberi penjelasan mengenai isu ini. Kami menerima pandangan Tun sebagai satu teguran membina untuk kami.

“Surat itu akan kami serahkan secepat mungkin dan berharap ada respons positif daripada pihak Tun. Hasrat kami hanya mahu menjernihkan keadaan dan menjelaskan dengan terperinci mengenai filem tempatan terutamanya filem seram,” kata beliau dipetik Sinar Harian.

“Mungkin dengan cara ini, ia sekali gus dapat mengurangkan tanggapan negatif terhadap filem bercorak seram khususnya kepada masyarakat,” katanya pada majlis Diskusi Kreativiti Perlu Ruang Bukan Sekatan di Finas.

Menurutnya, sebagai pembikin filem sudah pasti PFM mahu memberikan yang terbaik kepada penonton. Sentiasa menerima pandangan mengenai sesetengah filem yang wujud pengisian agak keterlaluan, PFM bersifat terbuka dan bersedia menerima pandangan sesiapa sahaja untuk menambah baikkan sesuatu filem.

“Apa terjadi sekarang ini adalah hanya kerana perkara kecil cuba diperbesarkan oleh pihak tertentu. saya percaya, setiap filem dihasilkan mengikut sosiobudaya dan mengikut landasan benar.

“Kami tidak mahu perkara ini berpanjangan. Perjumpaan dengan Tun nanti adalah sebagai menjawab dan menjelaskan persepsi mengenai filem seram,” katanya.

Menerusi diskusi tersebut, PFM berharap filem seram tidak akan disekat.

Naib Presiden PFM, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, setiap filem seram dihasilkan mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.

“Sebagai pengkarya sudah pasti kami tidak meminggirkan soal sensitiviti agama dan paling penting mengikuti setiap garis panduan ditetapkan Lembaga Penapisan filem (LPF).

“Setiap filem akan diserahkan kepada LPF untuk dinilai. Jika karya itu ada yang tidak kena, pihak LPF akan memotongnya.

“Jika dilihat pada rekod, tahun ini 42 filem menunggu tayangan sehingga penghujung tahun. Daripada jumlah itu, 18 filem seram,” katanya.

Diskusi tersebut turut melibatkan setiausaha kehormat, Norman Abdul Halim dan bendahari Panchacharam P Nalliah.

Bulan lalu, penggiat dan pengarah filem hantu dan seram menafikan karya mereka menjadi punca kepada suburnya amalan kepercayaan tahyul di kalangan penonton atau merosakkan akidah mereka, selain percaya ia mempunyai banyak nilai positif seperti kekeluargaan dan agama.

Ada antara mereka berpendapat filem sedemikian lebih bercorak hiburan, mendapat permintaan tinggi dan diselitkan dengan unsur komedi, bukan untuk meracuni minda masyarakat.

Ahmad Idham turut dilapor mempertikaikan cadangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mahu bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan isu lambakan filem itu kerana ia disifatkan sebagai tidak adil, sekali gus berniat untuk membunuh kerjaya mereka.

Sebaliknya beliau meminta Majlis Fatwa Kebangsaan menemui pemain-pemain utama industri filem bagi membincangkan pengisian yang sepatutnya, sekali gus mengawal lambakan filem genre sebegitu.

Tiada ulasan: