Ahad, 2 Oktober 2011

Filem Hantu: Majlis Fatwa Rancang Temui PM. Pemuda PAS Pula Hilang Prinsip?

KELAB GREENBOC

Kuala Lumpur: Majlis Fatwa Kebangsaan mahu bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan isu lambakan filem atau drama hantu yang cukup popular sekarang kerana dikhuatiri boleh memesongkan akidah terutama di kalangan remaja Islam.

Gambar: Menonton cerita begini tidak membawa kebaikan, tidak memberi keuntungan hanya perasaan takut, lemah semangat serta tidak baik kepada negara yang memerlukan rakyat yang berpengetahuan dan bijaksana. - Syaikh Ismail Muhamad, Imam Besar Masjid Negara

Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata majlis menggesa kerajaan memperincikan kawalan terhadap penerbitan filem atau drama hantu yang jelas berunsur khurafat dan mempromosi kepercayaan karut.

“Kami setuju perkara khurafat seperti ini patut dihapuskan. Kita kena bina pemikiran dan kerohanian masyarakat dengan perkara yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara.

“Perkara ini juga sudah dibawa kepada pihak berwajib. Namun, mereka tidak peka dan kami bercadang berbincang dengan Perdana Menteri untuk menyuarakan hasrat mufti ini,” katanya kepada Berita Minggu ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohamad Shukri yang juga Mufti Kelantan mengulas pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung berlakunya lambakan cerita hantu di negara ini yang mempromosi kepercayaan karut serta tidak membantu masyarakat menjadi produktif.

Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhamad, berkata umat Islam yang terlalu taksub dan mempercayai hantu atau makhluk selain Allah SWT, boleh menjadi syirik.

“Mereka yang syirik adalah berdosa besar sehingga segala amalan baik yang dibuatnya sebelum ini akan terhapus begitu saja hinggalah mereka bertaubat.

“Menonton cerita begini tidak membawa kebaikan, tidak memberi keuntungan hanya perasaan takut, lemah semangat serta tidak baik kepada negara yang memerlukan rakyat yang berpengetahuan dan bijaksana,” katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam, Datuk Dr Maamor Osman menggesa tapisan menyeluruh yang lebih ketat patut dilakukan ke atas penerbitan dalam dan luar negara yang menolak konsep ketuhanan dan berlawanan dengan akidah serta norma masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth Production Sdn Bhd, David Teo pula berkata, penerbitan filem hantu berbentuk khayalan dan hiburan semata-mata sama seperti filem kartun atau fiksyen.

“Filem hantu untuk hiburan selain mendidik penonton. Ia bukan mempromosi kisah tahyul, sebaliknya pada masa sama nilai agama menerusi watak ustaz yang berperanan mendidik penonton secara tidak langsung.

“Sebelum ditayangkan, filem itu juga perlu melalui Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk menentukan sama ada sesuai untuk tontonan umum atau tidak. Jika unsur tahyul yang ditayangkan keterlaluan, babak terbabit akan dipotong dan tidak ditayangkan di pawagam,” katanya. -BH

Ulasan GB

Yang lain ok, cuma di beberapa perenggan akhir dimana penulis berita ini menanya David Teo untuk bercakap mengenal hal syirik, tahyul dan seumpamanya.

Ada skrew yang tertanggal dari kepala penulis berita di atas bila seorang bukan Islam ditanya mengenai hal menyentuh aqidah dan keagamaan.

Mengenai lambakan cerita-cerita hantu berunsur syirik, khurafat dan tahyul ini telah lama GB ulas di SINI. Petikan:

Penyemarakan unsur syirik, khurafat dan tahyul di dalam filem-filem Melayu mutakhir ini sperti cendawan tumbuh yang tidak terkawal.

Kita menjadi hairan dengan sikap berdiam diri para mufti, JAKIM dan lain-lain yang berautoriti di dalam hal-hal keagamaan di dalam negara kita. Lebih malang lagi apabila Lembaga Penapis Filem seperti menggalakkan kehadiran filem-filem tempatan yang merosakkan akidah umat Islam di negara ini.

Kita boleh saja terima jika filem itu dari dalam atau luar negara yang dihasilkan oleh mereka yang bukan beragama Islam, namun apa yang mendukacitakan ialah filem-filem berkenaan dihasilkan dan dilakonkan oleh mereka yang beragama Islam.

Apa sebenarnya agenda Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan penerbitan dan penayangan filem berunsur syirik itu?


Menyentuh mengenai kontroversi filem Hantu Bonceng yang dihebohkan ada beberapa perkara yang memusykilkan. Lembaga Penapis Filem melalui Pengerusinya Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap mendakwa JAKIM telah meluluskannya. Mana buktinya? Siapa pegawai JAKIM itu? Bila masa dilakukan pertemuaan JAKIM dan Lembaga Penapis Filem? Mana kenyataan rasmi JAKIM?

Kedua, Dewan Pemuda PAS dikhabarkan telah bertemu Ahmad Idham untuk menyelesaikan kes berkenaan. Dewan Pemuda yang sebelumnya lantang mengkritik tetiba menjadi kendur. Apakah Ketua Dewan Pemuda jenis tidak berprinsip yang terubah pendirian hanya dengan satu pertemuan?

Buktinya:

Sebelum pertemuan:
Namun filem tersebut dikecam hebat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia kerana dalam satu adegannya, Zizan jelas menghina Rasulullah saw dengan menyebut “Ashaduanna Muhammadar ... syaitan” yang membawa maksud “Aku naik saksi bahawa Muhammad itu ... syaitan”.

Selain itu turut ditambah dengan adegan mempersendakan azan, memakai baju yang mempunyai tanda salib ke masjid dan beberapa isu tahyul seperti bogel depan hantu.

Dewan Pemuda PAS Malaysia ketika membuat teguran terhadap filem itu sejak 19 September lalu turut kesal yang teramat sangat dengan kelemahan ketara pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), sehingga membenarkan filem-filem berbaur penghinaan kepada Islam diterbitkan.
-harakahdaily


Kemudian selepas pertemuan diadakan:

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak telah menyuarakan hasrat dan memberi penjelasan dari kedua belah pihak. Hasil dari pertemuan itu, pihak Dewan Pemuda PAS dengan Excellent Pictures telah mencapai kata sepakat dan berpuas hati dengan semua penjelasan malah sebulat suara menyelesaikan masalah berbangkit dalam suasana yang cukup mesra. ...

Dalam kesempatan ini juga, kedua- dua belah pihak memohon agar isu berkaitan ini tidak lagi diperbesarkan dan dipertikai oleh mana-mana pihak kerana isu terbabit telah diselesaikan dalam pertemuan ini. -pemudapas


Teruk punya statement! Tidak mahu diperbesarkan supaya Hantu Bonceng boleh terus ditonton oleh masyarakat dan pihak penerbit terus dapat mengaut keuntungan dengan penyiarannya? Dan Pemuda PAS tiada takut lagi untuk bersubahat dengan tayangan itu?

Tiada ulasan: