Selasa, 25 Oktober 2011

Bongkar! Polis diarah bekerja untuk Umno-BN

Oleh: Editor@WD

WarkahDaily – Dah semakin caca marba negara ini apabila pegawai keselamatan yang sepatutnya menjaga keamanan dan keselamatan negara dan rakyat tiba-tiba ‘bekerja’ untuk sebuah parti pemerintah pula.

Dah terdesak sangat Umno-BN mahu mempertahankan kuasa mereka menjelang pilihanraya umum (PRU) ke-13 yang semakin dekat.

Dipetik dari Tranungkite.net, seorang pembaca Sabahkini.net (SK), Mardiany Digong telah mengadu beliau telah didatangi dua pegawai polis dari cawangan khas meminta beliau mengisi borang berkaitan undi pilihanraya.

“Saya amat terkejut dengan tindakan dua pegawai polis ‘Cawangan Khas’ (SB) yang mengunjungi rumah saya 16 oktober 2011, meminta saya mengisi borang mengenai undi pilihanraya,” cerita Mardiany kepada SK.

Pada awalnya, Mardiany merasa curiga kedatangan SB itu kerana menyangka penyamar yang ingin merompak rumahnya disebabkan tindakan mereka mengambil gambar luar rumahnya.

Kerana meragui tingkah laku SB itu, Mardiany cuba meminta pegawai polis berkenaan datang keesokan hari untuk menuntut borang yang diberikan.

Pengadu dengan segera mengambil peluang bertanyakan akan hal itu kepada balai polis berhampiran, namun mereka tidak mengetahui akan perkara itu sambil menjelaskan jika sesuatu dokumen berkaitan polis, perlu ada logo polis.

“Jika ada apa-apa borang dari pihak polis, ianya selalu disertakan dengan logo balai polis,” cerita Mardiany apa yang dijelaskan polis.

Menurut Mardiany lagi, jelas surat itu tidak tertera logo polis seperti yang dijelaskan balai polis.

“Berbeza dengan borang yang pegawai polis dari cawangan khas ini berikan, tiada apa-apa logo tertera.

Tatkala laporan Mardiany, polis di balai berkenaan cuba menghubungi cawangan khas untuk kepastian akan hal berkenaan. Jelas, cawangan khas mengakui ada pegawai mereka yang mendatangi rumah ke rumah untuk membuat banci berkaitan undi pilihanraya.

Kemudian Mardiany bertegas kepada polis di balai berkenaan, ‘Bukankah undi itu rahsia dan hak kami’. Namun polis berkenaan memberi alasan konon apa yang dilakukan itu cuma untuk mengira (banci) secara rawak sahaja.

Padahal, menurut Mardiany lagi, pada borang berkenaan turut diminta menulis nombor kad pengenalan.

Borang banci undi pilihanraya dari polis cawangan khas (SB).

“Tetapi di borang yang mereka berikan, ada diminta untuk menulis nombor kad pengenalan. Maka ini bukanlah secara rawak jika dokumen pengenalan diri juga diminta bersama,” beritahu Mardiany lagi.

Kemudian dua pegawai polis dari cawangan khas kembali lagi untuk menuntut kembali borang yang diagihkan sebelum itu.

Mardiany dilihat enggan mengalah dengan permintaan dua SB berkenaan sambil menjawab, “Bukankah undi adalah rahsia? Sepatutnya kamu sebagai polis lebih tahu”.

SB berkenaan menjawab, apa yang dilakukan mereka itu adalah atas ‘ARAHAN PIHAK ATASAN’.

Mardiany bertindak menghubungi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk menjelas perkara itu.

“Saya telah menelefon pihak Suruhanjaya Pilihanraya dan mereka sekali lagi menegaskan bahawa tindakan pegawai polis tersebut adalah salah dari segi undang-undang,” cerita Mardiany lagi.

Sambil SPR menyatakan ‘UNDI ADALAH RAHSIA’.

Mardiany akhiri suratnya dengan memberi nasihat kepada Ketua Polis Negara dan OCPD agar menghentikan usaha banci undi pilihanraya yang sepatutnya menjadi rahsia individu.

“Hentikanlah kerja sia-sia ini kerana kami tidak akan memberikan hak kami untuk dinodai,” tegas Mardiany dalam suratnya.

Atas kapasiti apa pihak polis diminta untuk membanci undi pilihanraya yang menjadi suatu kerahsiaan bagi setiap individu. Apakah pihak polis kini sudah bertukar tugas untuk membantu parti politik pemerintah untuk mengekalkan kuasa mereka?

Tiada ulasan: