Jumaat, 7 Oktober 2011

Beri tanah; Mad Said sekadar papar 'Siaran Ulangan' Program kerajaan PAS


Merujuk kepada laporan BERNAMA yang menyatakan Kerajaan Negeri Terengganu telah mengagihkan 158 geran tanah kediaman dan tanah pertanian di dun Batu Rakit kepada penduduk semalam.

Menteri Besar dipetik sebagai berkata, pembahagian lot-lot kediaman dan tanah pertanian itu adalah sebagai merakyatkan pentadbiran dan mendemokrasikan pembahagian tanah kepada rakyat.
Diberitakan bahawa daripada 158 lot tanah berkenaan, 114 adalah untuk lot tapak rumah manakala selebihnya untuk tanah pertanian.

Untuk berlaku adil, kita perlu berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri pimpinan Ahmad Said dengan keperluan rakyat walaupun tindakan yang diambil adalah sekadar ulangan apa yang pernah dilakukan dizaman pemerintahan PAS dahulu. Apakah ini langkah terdesak pemulihan imej menjelang Pilihan Raya Umum ke 13, atau memang kerana keikhlasan kerajaan untuk merealisasikan slogan merakyatkan pentadbiran? Terpulanglah kepada rakyat untuk menilainya.

Penilaian secara luarannya, memang boleh dipersoalkan. Kenapa program yang diadakan di Dewan Sivik, Maras itu disekalikan dengan penyerahan e-book kepada 454 murid yang tentunya mewajibkan kehadiran ibu-bapa dan guru-guru dan kenapa pula bendera Umno memenuhi kawasan program? Penyampaian geran tanah adalah urusan kerajaan dan bukannya Umno, apatah lagi penyerahan e-book!

Tiada siapa pun yang menafikan keperluan rakyat kepada kediaman dan sebidang tanah pertanian untuk bercucuk tanam mencari rezeki. Atas keperluan inilah, Kerajaan pimpinan PAS Terengganu dahulu walaupun dalam usia singkat telah mengambil langkah bijak mengagihkan lot-lot tanah kediaman dan pertanian dalam bentuk Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) kepada rakyat yang berhak.

Agenda yang menjadi antara fokus utama Kerajaan Terengganu pimpinan PAS antara tahun 1999 – 2004 telah menyelesaikan agihan kira-kira 60 ribu lot tanah RTB untuk diagihkan kepada rakyat yang tidak bertanah dalam bentuk pemberian Lesen menduduki Sementara (LMS) di seluruh negeri sebelum proses pemberian geran kekal dilakukan. Langkah Kerajaan BN Terengganu ini juga secara langsung mengiktiraf perancangan rapi dan tindakan bijak Kerajaan Terengganu pimpinan PAS sebelum ini.

Perlu dimaklumi bahawa usaha murni peninggalan Kerajaan PAS Terengganu itu bukan hanya telah dimusnahkan oleh Idris Jusoh, bahkan Ahmad Said sendiri, disebalik cuba menampilkan imej prihatin dan cakna rakyat, beliau sebenarnya turut terlibat. Perampasan lebih 60 lot tanah RTB Kubang Labi, Banggol DUN Permaisuri untuk diserahkan kepada Syarikat Blue Archipelago Berhad dengan taraf pajakan selama 30 bagi dimajukan dengan projek kolam udang berlaku di zaman beliau sebagai MB.

Andainya pengagihan geran sebagai bukti kerajaan pimpinan Ahmad Said memang serius melaksanakan slogan merakyatkan pentadbiran, ianya perlu juga disertai dengan tindakan pembetulan kesilapan kerajaan terdahulu dan pengembalian semula hak rakyat yang dirampas. Tidak betul kalau MB bersikap sebelah tangan menghulurkan madu, sebelah lagi mencurahkan tuba.

Kalau sekadar tindakan untuk cuba memulihkan imej dengan menyalahgunakan program kerajaan, bermodalkan lagak prihatin dengan keperluan rakyat menjelang disaat hampirnya PRU 13, tentu ianya tak lebih dari sekadar ulangan gimik politik yang tak berkesudahan.

Dr Azman Ibrahim
Naib YDP Setiu
AJK Badan Perhubungan PAS Terengganu

Tiada ulasan: