Antaranya kebajikan tentera, veteran, balu dan anak yatim tentera dengan pemberian tanah Felda Plantations dan Rumah Mesra Rakyat.
BANGI: Sekretariat Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera Malaysia (Kerabat) menuntut lapan resolusi bagi menjamin kebajikan mereka sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Resolusi antaranya mahu Pakatan memberikan keutamaan kepada kebajikan tentera, veteran, balu dan anak yatim tentera dengan pemberian tanah Felda Plantations dan Rumah Mesra Rakyat.
“Berdasarkan Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) 1973 menyatakan bahawa setiap anggota tentera dan isteri berhak untuk memohon 20 ekar tanah pertanian dan dua unit tanah perumahan dari kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (Kementah).
“Namun daripada rekod Bahagian Perkhidmatan Anggota (BPA) Kementah tidak sampai 100 anggota tentera yang berjaya memperoleh tanah yang seperti yang dijanjikan,” kata Presiden Kerabat Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar semasa Himpunan Perwira Negara Bersama Rakyat di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Serdang Jaya di sini malam tadi.
Kerabat juga menuntut pelarasan kenaikan gaji dan pencen sebanyak RM500 sebulan kepada semua tentera dan veteran serta imbuhan khas sebanyak RM500 setiap bulan kepada bekas tentera yang tidak berpencen.
Selain itu, ia juga mahu setiap anggota dan pesara tentera dikecualikan dari cukai untuk pendapatan gaji dan pencen kerajaan, serta mengambil alih bagi memperkemas dasar Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Syarikat Perumahan Angkatan Tentera (SPAT).
“Kami juga mahu Pakatan memberikan rebat sebanyak 50 peratus untuk bayaran api dan air bagi setiap premis kediaman kepada tentera dan bekas tentera sepanjang hayat,” katanya dalam resolusi tersebut.
Kesemua resolusi tersebut dituntut dalam tempoh 100 hari jika Pakatan Rakyat diberikan mandat mentadbir Kerajaan Persekutuan.
Amat malang
Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizzah Wan Ismail mempersoalkan layanan yang diberikan terhadap anggota tentera hanya pada hari-hari tertentu sahaja.
“Memang ada Hari Pahlawan bagi mengingati jasa mereka tetapi adakah kebajikan bekas tentera terutamanya pegawai rendah ini dijaga dan hanya dihargai sempena hari-hari tertentu sahaja,” soalnya di hadapan kira-kira 500 bekas tentera dan orang ramai yang hadir.
Katanya, amat malang apabila tentera juga dipergunakan oleh pemimpin yang zalim demi mengekalkan kuasa mereka dengan melakukan penipuan undi.
“Tetapi tuan puan harus tolong kami (Pakatan) untuk bela nasib tuan puan kerana dengan sokongan anda boleh buat perubahan dalam negara,” katanya.
Adil untuk semua
Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjamin Pakatan akan membela nasib anggota dan bekas tentera sekiranya memerintah.
“Kita akan memerintah adil untuk semua. Kita akan buktikan kalau diberi peluang seperti yang ada dalam Buku Jingga dan resolusi ini akan dijalankan kerana sudah jadi tanggungjawab kita,” katanya.
Kerabat merupakan organisasi bebas yang ditubuhkan pada 18 Julai lalu bertujuan menuntut hak dan kebajikan bekas tentera.
Kini keahliannya mencecah 2,900 anggota dan bekas tentera sekitar Johor serta Perak, dan kini mahu bergerak di Pulau Pinang dan seluruh negara bagi menyampaikan matlamat mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan