Ahad, 9 Oktober 2011

Bajet 2012: BN terus abai anak muda

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat mendakwa Bajet 2012 yang dibentang Perdana Menteri Jumaat lalu juga membelakangkan kebajikan golongan belia.

Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-His berkata dalam pengumuman itu, tiada peruntukkan khusus untuk pembangunan insan dan latihan untuk anak muda.

"Kerajaan BN juga dilihat tidak mampu menyediakan alternatif pekerjaan untuk menampung kadar pengangguran graduan di tanahair yang semakin meningkat.

"Tiada perancangan untuk merangka mencetuskan pekerjaan yang kompatatif serta nilai idea baru terutamanya dalam industri pertanian moden buat anak muda," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, di saat ekonomi negara yang kurang bermaya, kerajaan hanya menumpukan pengekalan nilai sedia ada di universiti tempatan tanpa cuba mewujudkan kreativiti sosial dan ekonomi.

Menurutnya, kerajaan sewajarnya memperuntukan sejumlah peruntukan buat universiti tempatan bagi melatih bakal graduan dalam pengurusan risiko dan kreativiti kerja.

"Anak muda yang diluar lingkaran kampus dilihat semakin terpinggir dalam isu pencarian pekerjaan.

"Malah dalam konteks membina kerangka niaga buat generasi muda tiada penumpuan kursus sama ada kemudahan membuka peniagaan dalam bentuk teknologi dan perkilangan," tegasnya lagi.

Beliau turut membidas bajet yang dianggap 'gula-gula pilihan raya itu' berhubung kebergantungan kerajaan terhadap pihak luar sehingga menafikan kemampuan anak tempatan terutama graduan yang berkemahiran dalam bidang tersebut.

Berhubung pembangunan sukan pula, kerajaan katanya hanya menumpukan prasarana dan bukannya jatidiri penggiat sukan tanahair ini.

"Dalam memberikan insatif dan kemahiran baru kepada semua atlet dilihat adalah paling penting yang tidak diambil kira oleh pihak Kerajaan.

"Pembangunan sukan bukan hanya memerlukan banyak prasarana, tetapi memerlukan kekuatan kemahiran yang tidak pernah menjadi keutamaan kepada semua atlet," ujarnya.

Bidas berkebajikan BN

Sementara itu beliau turut membidas Najib yang mendakwa BN lebih awal melaksanakan konsep Negara kebajikan.

"BN perlu sedar kerana lebih 54 tahun memerintah semenjak negara mencapai Kemerdekaan, rakyat masih tidak melihat pendekatan kebajikan yang diberikan oleh Kerajaan BN selama ini.

"Tetapi ianya terlalu banyak ketirisan wang rakyat yang mengenggelamkan pendekatan kebajikan yang BN akui telah berikan sebelum ini lagi," tegasnya.

Tiada ulasan: