Jumaat, 28 Oktober 2011

Audit: SPRM mahu siasat salah laku hanya retorik?

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa mereka akan membuka fail bagi menyiasat 36 kes salah laku yang melibatkan perolehan dibuat oleh agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan merupakan retorik yang tidak bermakna.

Setiausaha Organisasi DAP Negeri Selangor, Lau Weng San berkata, ini adalah kerana SPRM sehingga sekarang masih belum menyelesaikan kes-kes salah laku yang berpunca daripada perolehan jabatan-jabatan kerajaan dengan harga yang jauh lebih tinggi (inflated price) pada tahun 2006.

Katanya, antara kepincangan yang dilaporkan pada masa itu termasuk pembelian satu set pen yang berharga RM160 dengan harga RM1,146, iaitu RM986 lebih mahal daripada harga pasaran.

Selain itu, ujarnya Kementerian Belia dan Sukan dikatakan membuat salah laku apabila membeli sebuah jek kereta yang berharga RM50 dengan harga yang melampung tinggi, iaitu RM1,664.

“Fenomena-fenomena ini seolah-olah berulang setiap tahun walaupun Jabatan Audit Negara bertahun-tahun memberi teguran.

“Malangnya, setiap kali Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan oleh kerajaan, kami melihat hampir tiada tindakan susulan daripada SPRM untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Soalnya, bagaimana rakyat Malaysia boleh mengharapkan SPRM untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bersalah apabila kes-kes yang telah dilaporkan sejak lima tahun yang lalu pun belum lagi diambil tindakan oleh SPRM.

Oleh itu, ujarnya apabila penjawat-penjawat awam melihat kelalaian dan kegagalan SPRM dalam mengambil tindakan cepat dan tegas berhubung dengan isu itu, mereka akan memandang remeh terhadap undang-undang yang sedia ada dan meneruskan sikap boros dan tidak berjimat cermat.

Ini, katanya lebih-lebih lagi apabila pemimpin-pemimpin kerajaan pusat pun boros dalam perbelanjaan.

“Apakah kita boleh mengharap kakitangan-kakitangan awam yang bertugas di bawah akan berjimat-cermat dalam pentadbiran kerajaan?” tanya beliau yang juga Adun Kampung Tunku.

Menurutnya, banyak kes salah laku telah dilaporkan terhadap SPRM, termasuk kes-kes yang melibatkan ‘ikan-ikan besar’, tetapi adakah SPRM dapat memberi laporan kepada rakyat Malaysia apa yang mereka telah lakukan terhadap ‘ikan-ikan besar’ itu.

Katanya, kegagalan SPRM itu telah membuktikan dakwaan bahawa kerajaan tiada komitmen politik untuk melakukan perubahan dan reformasi dalam pentadbiran awam.

“SPRM perlu tegas dan perlu dilihat tegas dalam menjalankan tugasnya. Jika tidak, penjawat-penjawat awam hanya akan bersambil lewa sahaja setiap kali Ketua Audit Negara memberi teguran,” ujarnya.

Tiada ulasan: