MALAYSIA KINI
Gadis yang didakwa oleh blog pro-Umno menjadi mangsa pencabulan oleh anak ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, tampil menafikan dakwaan itu.
Anya Corke, pelajar tahun ketiga di sebuah kolej di Amerika Syarikat yang gambarnya disebarkan oleh blog pro-Umno itu dalam e-melnya berkata beliau terkejut dengan dakwaan itu dan berharap ia tidak lagi berulang.
“Saya ingin jelaskan bahawa foto saya telah disalahgunakan tanpa pengetahuan atau persetujuan saya, sedangkan pada hakikatnya saya tidak pernah menjadi mangsa dalam apa-apa cara oleh budak ini ataupun keluarganya.
“Saya tidak melawat Malaysia selama tujuh tahun lalu. Saya juga tidak pernah berjumpa ataupun mengenali nama-nama orang yang terlibar itu. Saya juga nafikan bahawa pernah secara fizikal diserang dalam apa-apa cara sekalipun, “ tulis gadis itu.
Isnin lalu, blog pro-Umno itu mendakwa anak pemimpin tinggi politik Pulau Pinang mencabul kehormatan budak sekolah dan bagi menutup perbuatan itu, bayaran RM200,000 disogok kepada ibu bapa budak perempuan itu supaya tidak menghebohkannya.
“Siapalah VVIP negeri Pulau Pinang yang ada ilmu kira-kira dan matematik hingga dapat mengira RM100,000 untuk 1 buah dada yang diramas oleh anak lelaki beliau?” tulis blogger dengan nama Dr MiM di novandri.blogspot.
Rabu lalu, setiausaha publisiti DAP, Tony Pua mendedahkan bahawa gambar yang digunakan oleh penulis blog berkenaan dikenalpasti sebagai Anya Sun Corke, 21, seorang warga Britain.
Gadis itu juga dikatakan tidak mempunyai kaitan dengan Pulau Pinang mahupun pernah berhubungan dengan anak Lim.
Berikutan pendedahan Pua itu, Malaysiakini menghubungi seorang rakan Corke, yang kebetulan adalah warga Malaysia yang menuntut di universiti yang sama.
Dalam emelnya, menurut gadis itu yang juga merupakan pemain catur handalan, satu-satunya cara yang dirinya “dicabuli” ialah apabila gambarnya berkaitan khabar angin yang keji dan tidak berasas itu disebarkan.
“Saya juga ingin luahkan rasa simpati saya terhadap remaja lelaki itu yang telah difitnah dengan dakwaan tidak berasas ini,” katanya.
Beliau juga berharap semua pihak, termasuk media menghormati kehidupan peribadinya dengan tidak menghubungi dirinya, keluarga, kolej, persatuan catur dan lain-lain yang berkaitan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan