Sabtu, 22 Oktober 2011

Akademi PKNS Bakal Jadi Pusat Latihan Kelas A

Oleh Mohd Ezli Mashut



SHAH ALAM : Akademi PKNS kini sedang menunggu kelulusan daripada Pembangunan Sumber Manusia Berhad untuk diklasifikasikan sebagai pusat latihan kelas A.

Pengurus Besar PKNS Othman Omar dalam ucapannya berkata usaha ini adalah komitmen ke arah mewujudkan pusat latihan yang terbaik untuk masa hadapan pelajar di Akademi PKNS yang menawarkan program-program latihan untuk kakitangan PKNS,anak syarikat dan syarikat bersekutu.

"Dengan status ini akan membolehkan akademi ini untuk memasarkan kursus latihan kepada pekerja PKNS dan pihak-pihak luar. Pencapaian ini diperolehi dalam tempoh setahun dari penubuhannya. Ini merupakan bukti kepada komitmen untuk membawa pembelajaran yang berkualiti kepada para pelajar," katanya.

Seramai 72 graduan Akademi PKNS menerima sijil dan diploma eksekutif masing-masing yang disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Majlis Graduasi yang berlangsung di Shah Alam Convention Centre di sini.

Hadir pada majlis ini ialah Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Othman Haji Omar, Pengerusi International Professional Managers Association (IPMA) UM, Allan Sensicle, wakil Society of Business Practitioners (SBP) UK, David Jackson dan barisan pengurusan kanan PKNS.

Visi Akademi PKNS adalah untuk menjadi sebuah premis latihan serta institusi pembelajaran serba lengkap dengan kemudahan latihan terkini.

Othman juga mengingatkan graduan untuk terus belajar tanpa berhenti yang merupakan perkara penting untuk mencapai kejayaan.

"Untuk dapat memasuki industri yang berkembang pantas,kita memerlukan pengetahuan dan skil yang termaju," katanya.

Pada majlis yang sama,Othman dan Timbalan Pengurus Besar (Pentadbiran dan Pembangunan) PKNS, Noraidah Mohd Yusof turut dikurniakan Honorart Fellowship of the International Managers Association dari IPMA bagi memberi penghargaan terhadap sumbangannya yang menjadi tulang belakang kepada penubuhan Akademi PKNS.

Tiada ulasan: