Sabtu, 8 Oktober 2011

ADUN Rawang gesa PM selesaikan 5 isu utama

Gan Pei Nei


ADUN Rawang, Gan Pei Nei menyeru Perdana Menteri Najib Razak untuk menyelesaikan lima isu utama yang melibatkan Kerajaan Persekutuan di kawasan Rawang.

Saya mewakili penduduk Rawang mengalu-alukan lawatan kerja Perdana Menteri Najib ke Pekan Rawang esok (8 Oktober), tetapi ingin menarik perhatian Perdana Menteri supaya meyelesaikan isu sistem jalan dan pengangkutan, keselamatan, kabel kuasa tinggi TNB, penambahan Sekolah Rendah Tamil serta kompleks sukan seperti yang tersenarai di bawah:

1. Menaik taraf dan melebarkan semua Jalan Persekutuan dalam kawasan Rawang iaitu Jalan FT3209, FT01dan B27 dari Selayang - Pekan Rawang - Sg Choh serta Pekan Rawang - Bandar Country Homes- Bandar Tasik Puteri- Batu Arang - Ijok. Setiap hari, terdapat kira-kira 370 ribu kereta yang menggunakan Jalan Persekutuan FT 3209 dari arah Pekan Rawang ke Batu Arang. Kesesakan lalu lintas sentiasa berlaku di depan Tol PLUS Rawang.

Pada Disember 2010, Menteri Kerja Raya telah mengumumkan bahawa 9 km Jalan Persekutuan tersebut akan dinaik taraf, tetapi pada peringkat terkini, cuma 1.6 km yang sedang dijalan.

2. Memecahkan kawasan Rawang menjadi Ibu Pejabat Polis Daerah Rawang, serta membina sebuah Balai Polis diBandar Country Homes bagi meningkatkan tahap keselamatan dan membanteras jenayah di Rawang. Balai Polis Rawang serta bilangan polis yang sedia ada tidak dapat menampung jumlah populasi Rawang seramai 200 ribu orang akibat pembangunan yang pesat di Rawang. Kini, nisbah bilangan polis kepada penduduk Rawang adalahh 1:4000 orang, sedangkan kadar yang ideal ialah 1:250.

Mengikut Rancangan Pembangunan Rawang, sebidang tanah telah digazetkan untuk membina Balai Polis di Bandar Country Homes, tetapi tidak dapat dijalankan kerana tidak mendapat sebarang peruntukan daripada Kementerian Dalam Negeri.

3. Bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor supaya mengarahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mengadakan lalu alternatif dan tidak menggunakan laluan di Kampung Sungai Terentang sebagai laluan kabel kuasa tinggi 275kv bagi projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR). Laluan di kampung dan sekolahakan menjejaskan kesihatan penduduk kawasan sekitar dan murid.

4. Membina sebuah Sekolah Rendah Tamil baru (SJKT) di Rawang. Kini, Rawang hanya mempunyai sebuah SJKT dan jumlah murid telah meningkat ke 1,500 orang. Infrasturktur dan kemudahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Rawang yang sedia ada tidak dapat menampung bilangan murid yang meningkat dari Rawang, Kuang dan Kundang.

5. Oleh sebab padang awam di Pekan Lama Rawang telah ditukar milik dan dibangunkan sebagai pusat perniagaan, penduduk Rawang telah kehilangan tempat rekreasi untuk aktiviti riadah. Saya ingin menyeru Kementerian Belia dan Sukan membina sebuah kompleks sukan kepada penduduk Rawang.

"Saya berharap Perdana Menteri bukan sahaja mengumumkan peruntukan, tetapi juga menyelesaikan masalah yang relevan dengan penduduk Rawang bagi menunjukkan Kerajaan Persekutuan memang prihatin dan mengutamakan rakyat," tegas Gan Pei Nei.

*Kenyataan media oleh Gan Pei Nei (gambar kiri) selaku ADUN Rawang pada 7 Oktober 2011.

Tiada ulasan: