KUALA LUMPUR: Seramai 6,000 pemuda PAS dari seluruh negara dijangka akan berkampung di Markas Tarbiyah PAS di Taman Melewar, di sini, selama 3 hari berturut-turut, mulai 28 Oktober ini.
Perkampungan tersebut diadakan bagi menjayakan Ijtimak Tarbawi, anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) yang merupakan salah satu program besarnya sejak beberapa tahun lalu.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan menjelaskan, kesemua peserta ijtimak itu terdiri daripada kepimpinan pemuda PAS di peringkat pusat, negeri dan kawasan di seluruh negara.
Menurut beliau, ijtimak tersebut diadakan bagi memantapkan kekuatan pemuda PAS untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tidak lama lagi.
Katanya, kesemua peserta ijtimak itu merupakan jentera utama pemuda PAS di seluruh negara yang amat perlu diberikan persediaan secukupnya dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi pilihanraya.
"Kekuatan pemuda PAS amat diperlukan oleh parti bagi menghadapi PRU Ke-13, memandangkan Umno atau BN kini berada dalam keadaan amat terdesak sehingga sanggup mempergunakan apa sahaja bagi menghadapi pilihanraya itu," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, semalam.
Beberapa bukti yang jelas menunjukkan Umno BN berada dalam keadaan terdesak, menurut beliau, termasuklah tindakan tidak bertanggungjawab para pemimpin parti itu terhadap para mahasiswa dan para guru.
Katanya, untuk kepentingan politik, para pemimpin Umno telah mempergunakan mahasiswa dengan sewenang-wenangnya pada satu program parti itu di Bangi, Selangor, baru-baru ini.
"Program tersebut pada dasarnya adalah program Umno bersama penduduk di kawasan itu, tetapi diselitkan pula dengan program untuk bersama mahasiswa bagi membolehkan mereka mempergunakan mahasiswa untuk pilihanraya," katanya.
Katanya, dalam masa yang sama, Umno BN turut memperkenalkan dan melaksanakan Auku untuk menyekat mahasiswa dan parti-parti lain menjalinkan kerjasama.
"Hairannya, jika mereka buat boleh, parti-parti lain khususnya PAS dan Pakatan Rakyat tak boleh. Sepatutnya kalau mereka boleh bersama mahasiswa, parti-parti lain juga turut dibenarkan berbuat demikian," katanya.
Para pemimpin Umno BN, menurut beliau, jelas bersikap double standard dalam perkara itu dan tindakan seperti itu juga turut dilakukan oleh mereka pada program yang diadakan di Kuantan, Pahang, 28 September lalu yang melibatkan para guru.
"Pertemuan yang diadakan itu merupakan bengkel bagi menyusun strategi politik jahat mereka. 90 peratus guru-guru yang hadir pada program itu dipaksa untuk membelasah Pakatan Rakyat terutama PAS.
"Kesemua pengetua yang hadir dipaksa memastikan kesemua guru yang berada di bawah mereka menyokong Umno BN. Jika tidak, pelbagai tekanan akan dikenakan oleh mereka terhadap pengetua-pengetua dan guru-guru terbabit," katanya.
Tindakan seperti itu, menurut beliau, turut dilakukan oleh Umno BN di negeri-negeri lain termasuk di Pulau Pinang dan ia jelas menunjukkan parti itu sudah semakin kehabisan idea bagi menghadapi PRU Ke-13.
"Ini jelas menunjukkan Umno BN sekarang berada dalam keadaan terdesak sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menang dalam PRU Ke-13 nanti, walaupun tindakan-tindakan mereka itu jelas bertentangan dengan peraturan dan undang-undang," ujar beliau. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan