Isnin, 15 Ogos 2011

Utusan putar belit fakta berita Nasrudin

Saidah Hairan

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmood mengingatkan Utusan Malaysia supaya tidak masuk ke dalam katogeri golongan fasik hanya semata-mata mahu menyebarkan berita yang tidak sahih dan bohong.

Berhubung dengan tajuk berita 'Nasrudin terus desak pimpinan PAS' menampakkan kedangkalan Utusan Malaysia yang sengaja memutar belit fakta dengan menyorokkan berita yang benar.

Ini kerana katanya, kenyataan Nasarudin merupakan perkara biasa dan sebagai Ketua Pemuda PAS Pusat, beliau membuat kenyataan yang adil dan itulah sifat Pemuda yang tegas.

Menurut beliau, Utusan jangan dianggap sebagai pengadu domba dengan menyiarkan berita yang tidak benar dan paling jelas menabur fitnah.

Beliau memetik maksud firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiki kebenarannya supaya kamu tidak menyampaikan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.” Al Hujarat ayat 6.

Katanya, laporan Utusan Malaysia itu bertujuan melaga-lagakan pimpinan PAS disamping mahu memberi tanggapan kepada masyarakat bahawa PAS telah meninggalkan perjuangan Islam.

"PAS tidak pernah mengecam exco Hal Ehwal Agama, Adat istiadat dan Infrastruktur, Datuk Dr Hasan Mohd Ali serta Nasrudin itu sendiri, manakala dalam bab akidah PAS tetap pertahankan," tegasnya.

Ini membuktikan kata beliau, dalam PAS dibenarkan bersuara di mana PAS mengambil keputusan untuk mendengar kedua-dua pihak membuat penjelasan.

"Sebagai satu parti dalam komponen yang bakal memimpin negara, kita mendengar semua pihak dan tidak menjatuhkan hukuman tanpa mendapat penjelasan terlebih dahulu," tegas Dr Mariah (gambar).

Berhubung pemeriksaan Jais terhadap Gereja Methodist Damansara Utama katanya, jika Jais ada bukti dan melakukan pendakwaan PAS akan sokong dan bukan hanya cakap daripada laporan akhbar yang belum sahih.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja terkilan dengan laporan Utusan Malaysia yang sentiasa tidak tepat dan sering sensasikan berita untuk menarik pembeli.

"Tajuk UM sering menimbulkan kemarahan orang, kalau orang yang membeli dan membaca tidak tahu cerita sebenar mereka akan terpengaruh dengan maklumat tersebut," katanya.

Menurut beliau, isu Jais yang dibesar-besarkan adalah bertujuan politik untuk menggambarkan seolah-olah Islam itu sudah tercabar dan tergugat kedudukannya.

"Saya dapat maklumat NGO di Selangor lebih kurang 200 orang hadir dalam satu malumat selepas Jais membuat pemeriksaan DUMC. Dalam taklimat itu mereka diminta menandatangani satu memo mengecam Menteri Besar Selangor," katanya.

Beliau menegaskan sudah tentu ada tangan di luar daripada proses yang sah untuk mempolitikkan isu Jais dan sudah terbukti bahawa Utusan Malaysia memainkan isu ini.

Berkenaan isu murtad kata beliau, Muryidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub telah membawa perkara itu dalam sidang Parlimen.

Bagaimanapun tegasnya, kedua-dua cadangan itu tidak disokong oleh Umno dan itu menunjukkan bahawa PAS telah menengahkan isu murtad sejak dulu lagi.

Tiada ulasan: