Ahad, 28 Ogos 2011

Utusan dakwa Mat Sabu suara pihak mahu tulis semula Perlembagaan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Akhbar milik Umno, Mingguan Malaysia mendakwa Timbalan Presiden Mohamad Sabu memberi kenyataan mengenai pejuang kemerdekaan dan komunis dalam ceramahnya baru-baru sebagai suara pihak lain untuk menulis semula perlembagaan dan sejarah Malaysia.

Dalam ruangannya Awang Selamat berkata, pihaknya tidak terkejut kerana Mohamad atau mesra dikenali sebagai “Mat Sabu” membawa aspirasi pihak lain yang memang sentiasa menyala agenda mereka untuk menulis semula kedua-dua perlembagaan dan sejarah negara.

Sebelum ini akhbar tersebut pernah mengaitkan PAS dipergunakan oleh DAP dalam mencapai cita-cita politik mereka.

DAP dan PAS merupakan komponen Pakatan Rakyat selain turut dianggotai PKR.

Awang Selamat mendakwa strategi pemimpin tertentu DAP untuk menjalin hubungan rapat dengan Mohamad ternyata membuahkan hasil.

“Difahamkan, beliau semakin kerap mewakili pemimpin kanan DAP ke majlis-majlis yang berkaitan dengan hal ehwal Melayu. Tidak mengapalah jika beliau mendapat kepercayaan DAP tetapi janganlah mudah sangat diperalatkan.

“Perbuatan menghasut orang ramai agar menafikan sejarah adalah lebih bahaya daripada ancaman pengganas militan. Setiap warga negara mesti patriotik dan kental asas kenegaraan, yang sepatutnya dijunjung oleh Mat Sabu,” kata Awang Selamat dalam ruangan mingguannya.

Malah Awang Selamat juga mendakwa dia tidak terkejut sekiranya pembangkang memerintah, beliau akan menobatkan pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng sebagai tokoh kebangsaan dan mencadangkan Malaysia dijadikan negara republik.

“Orang seperti Mat Sabu boleh mencari apa sahaja kewajaran walaupun terpaksa mengelirukan fakta sejarah,” kata Awang Selamat mendakwa PAS mengangkat orang yang tidak berwibawa ke jawatan timbalan presiden.

“Awang simpati dengan PAS kerana mempunyai pemimpin seperti itu,” kata Awang Selamat lagi sambil menambah, sebelum ini reputasi beliau selalu dipersoalkan.

“Beliau lebih dianggap sebagai Pak Badut dalam parti. Lagi banyak beliau buka mulut maka lagi buruk imej PAS.

“Mat Sabu juga mencerminkan kebodohan Melayu berpolitik. Ghairah untuk untung jangka pendek tetapi merugikan bangsa untuk selama-lamanya,” tambah Awang Selamat.

Hari ini, Mingguan Malaysia akhbar edisi Ahad terbitan Kumpulan Utusan memperuntukan enam halaman termasuk muka depan mengecam Mat Sabu.

Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya semalam menyiarkan kontroversi yang dicetuskan Mohamad apabila mendakwa Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu.

Selain itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu, Mohamad turut didakwa menggambarkan Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana tokoh tersebut adalah pegawai British.

Dalam komennya kepada The Malaysian Insider hari ini, Mohamad Sabu yang dipilih sebagai timbalan presiden Jun lalu mengambil pendirian untuk tidak memberikan sebarang komen berhubung dakwaan akhbar Utusan mengatakan beliau menghina pejuang kemerdekaan dalam satu ceramah di Tasik Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.

Sebaliknya, Timbalan Presiden PAS menegaskan, beliau mahu melihat kembali rakaman video berhubung ceramah itu sebelum memberikan sebarang komen.

“Saya berucap pada 21 Ogos tapi keluar dalam Utusan Malaysia 27 Ogos, saya tidak mahu beri apa-apa komen lagi... saya nak dengar dan lihat balik rakaman video itu dulu.

“Saya tidak mahu nafi atau apa, saya nak tengok balik... saya tak tahu apa yang dilaporkan (dalam Utusan Malaysia) sama ada ia betul atau tidak,” katanya.

Tiada ulasan: