KUALA LUMPUR: Kartunis Politik, Zunar terpilih sebagai Artists-in-Residence 2011 dalam program “Art and Censorship” (Seni dan Penapisan) anjuran BilbaoArte/Fundacion BBK, iaitu sebuah yayasan kesenian di Bilbao, Sepanyol.
Program berlangsung selama tiga bulan bagi membantu artis-artis memperjuangkan dan mempertahankan hak berkarya mereka yang menghadapi penapisan/tekanan pihak berkuasa.
Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque, menganggap ia bukan sahaja kejayaan peribadi, sebaliknya kejayaan bagi aktivis yang menentang penapisan dan kekangan bersuara di Malaysia.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja merupakan satu pengiktirafan kepada karya-karya kartun saya, malah merupakan satu kejayaan bagi aktivis-aktivis yang berjuang menentang penapisan dan kekangan hak bersuara di Malaysia,” katanya pada satu kenyataan media.
Menurutnya, ini juga memberi kekuatan untuk beliau menghasilkan karya yang lebih tajam dan berkesan dalam usaha menentang korupsi, pembaziran wang rakyat, salah guna kuasa dan kezaliman yang diamalkan pemerintah Malaysia.
“Ia juga (penghargaan) merupakan satu iyarat kepada kerajaan Malaysia menghentikan segala bentuk ancaman, ugutan dan tindakan jenayah terhadap saya dan artis-artis lain di Malaysia, kerana masyarakat seni di seluruh dunia sedang memerhatikan segala tindak tanduk mereka,” katanya.
Zunar antara 20 artis dalam program anjuran berkenaan bagi membantu memperjuang dan mempertahankan hak berkarya dalam menghadapi penapisan dan tekanan pihak berkuasa.
Sebanyak 70 kartun editorial yang dihasilkannya akan dipamerkan di dalam Festival Melawan Penapisan ke-6 dari 7 hingga 15 November yang menampilkan karya pekerja seni yang ditapis dan diharamkam.
Beliau juga diberi penghormatan untuk mencipta dan mereka bentuk poster untuk festival tersebut bagi tahun ini.
Saman Zunar terhadap kerajaan ekoran pengharaman bukunya Cartoon-O-Phobia sedang berjalan dengan mahkamah menetapkan 13 September depan sebagai tarikh sebutan kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan