Oleh: Nabihah Hamid
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution berkata kerajaan tidak perlu menunggu pembentukan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) untuk menambahbaik sistem pilihan raya di negara ini.
Sebaliknya kerajaan mampu melaksanakan tuntutan Gabungan Bersih 2.0, sekiranya ikhlas berbuat demikian tanpa menunggu penubuhan jawatankuasa itu.
“Keputusan segera boleh dibuat dan tidak perlu menggunakan PSC sebagai jalan penyelesaian. Contohnya penggunaan dakwat kekal yang sampai sekarang tidak mempunyai jawapan walhal dakwat tersebut telah pun dibeli tahun 2008 dulu.
“Ini termasuk dengan isu pemilih dalam daftar pengundi SPR yang diragui kebersihannya,” kata Saifuddin ketika dihubungi Keadilandaily.com.
Beliau berkata demikian ketika memberi respon berhubung kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengegaskan pilihanraya umum akan diadakan pada bila-bila masa dan tidak terikat dengan keputusan penubuhan PSC.
Ahli Parlimen Machang itu berkata, pelbagai agensi seperti Jabatan Pendaftaran negara (JPN) dan pihak polis sepatutnya membantu menyelesaikan isu seperti pengundi bertindih dan pengundi hantu yang berada dalam daftar pemilih SPR.
“Jadi tidak ada masalah dari pihak SPR untuk mengemaskinikan data mereka jika mereka bekerjasama dengan pihak polis serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) secara langsung. Ini semua tidak perlu menunggu PSC,” kata beliau.
Menyifatkan kerajaan tidak serius melaksanakan reformasi pilihanraya, Saifuddin juga mengkritik jawatankuasa itu dengan menyifatkan ia tidak memberi kesan, selain tindakan terdesak untuk menyedapkan hati pelbagai pihak.
“Jawatankuasa seperti ini sebenarnya sudah beberapa kali ditubuhkan dalam banyak isu. Cuma masa kali ini, ianya ditubuhkan kerana Kerajaan Barisan Nasional (BN) mendapat tekanan Gabungan Bersih 9 Julai lalu.
“Perdana Menteri mengalami masalah dari sudut reputasi dan kredibilitinya dalam melaksanakan pilihan raya yang bersih dan adil,” katanya.
Berdasarkan perkara itu, katanya, cadangan PSC itu juga tidak menunjukkan kesungguhan melaksanakan sistem pilihan raya bersih dan adil seperti dituntut banyak pihak.
“Ianya hanyalah satu tindakan penyelesaian jangka pendek bagi mengendurkan kemarahan rakyat seperti menyimbah air ke dalam api,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan