Isnin, 15 Ogos 2011

Sistem p'raya cuba dikotorkan, dakwa Mahfuz

MALAYSIA KINI


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff tidak wajar mempertahankan sistem sedia ada dengan mengeluarkan kenyataan bahawa tidak ada daftar pemilih yang bersih di dunia ini, kata PAS.

Naib presidennya Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan itu dikira memalukan dan tidak wajar" dikeluarkan oleh seorang yang mengetuai sebuah badan bebas.

NONE"Yang (beliau) sepatutnya melihat persoalan-persoalan untuk memastikan daftar pemilihan dan proses sistem pilihan raya dapat berjalan dengan baik dan telus.

"Bukan kita membawa isu-isu yang tidak ada di dunia ini, (iaitu) daftar pemilih yang bersih seperti yang didakwanya," katanya.

Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena mendakwa pada masa ini terdapat pihak yang cuba "mengotorkan" sistem pilihan raya dan daftar pemilih.

"Jadi, bukan isu tidak ada (di) dunia daftar pemilih yang bersih. Itu satu persoalan yang lain.

"Dan saya sangat mempersoalkan apakah rakyat di negara maju yang lain begitu dungu sehingga tidak dapat mengesan daftar pemilih yang bersih," katanya.

Sementara itu, mengulas projek pemutihan rakyat asing yang sedang giat dijalankan, Mahfuz mendakwa terdapat usaha memberikan kerakyatan kepada bangsa asing untuk kepentingan politik BN.

"Saya menganggap bahawa perbuatan memberi warga asing taraf kerakyatan sampai ke peringkat menjadi pengundi, menunjukkan SPR dan kerajaan tidak patriotik terhadap negara kita.

"Ini sangat merbahaya, apabila sifat patriotik itu sudah tidak ada, sehingga sanggup menjual dan menggadai masa depan, kedaulatan dan keselamatan negara," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa penubuhan sebuah badan bebas yang diletakkan di bawah parlimen untuk memilih dan merombak suruhanjaya tersebut.

Katanya, badan bebas tersebut bertanggungjawab untuk memilih individu yang kredibel dan wibawa untuk mengendalikan SPR dan memastikan perjalanan pilihan raya yang bersih.

VIDEO | 6.02 min

Tiada ulasan: