Sabtu, 6 Ogos 2011

Shahrizat: Pelajar tak patut sertai motivasi ‘ala penjara’


KUALA LUMPUR — Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan pihak pengurusan sekolah sepatutnya tidak menghantar pelajar untuk menyertai kursus motivasi di penjara ekoran aduan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda, Johor Baru minggu lalu.

Berikutan kursus motivasi itu sekumpulan 32 pelajar mendakwa melalui pengalaman mengerikan apabila ditendang, ditumbuk, malah ada yang berkata mereka digari dan dikurung dalam sel tahanan oleh warden ketika mengikuti kem motivasi “ala penjara” anjuran sekolah di Penjara Kluang pada 29 hingga 31 Julai lalu.

Sepanjang tiga hari program berlangsung, kumpulan pelajar tingkatan satu, dua dan empat sekolah berkenaan mendakwa dilayan umpama banduan apabila makanan mereka dicatu, diarah berbogel, melakukan ketuk ketampi dan tekan tubi berulang kali serta hukuman lain setiap kali melakukan kesalahan.

Selain itu, kesemua pelajar berkenaan turut dicukur umpama banduan sebenar.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (gambar) berkata, pelajar-pelajar tidak sepatutnya diberi pendedahan kepada kursus motivasi sedemikian.

“Kementerian menegaskan bahawa program kursus motivasi di penjara seperti ini tidak dapat menjamin keberkesan dalam membendung masalah penyalahgunaan dadah dan penglibatan jenayah di kalangan kanak-kanak.

“Kajian antarabangsa juga mendedahkan bahawa kesan daripada program seperti itu gagal untuk menghalang kanak-kanak daripada terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan jenayah, sebaliknya akan menggalakkan mereka untuk bertindak sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru jelas beliau, pengurusan sekolah sepatutnya mengadakan kursus motivasi yang sesuai dengan peringkat umur pelajar.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat lebih cenderung mengesyorkan pendekatan pemulihan untuk jenayah kanak-kanak dilakukan, yang mana pendekatan ini boleh mengembalikan mereka kepada kehidupan biasa melalui latihan semula serta rawatan yang bersesuaian untuk membaiki kesilapan yang telah dilakukan pada masa lalu.

“Ini juga bermakna bahawa pendekatan pemulihan akan dapat meningkatkan kesedaran kepada kanak-kanak dan risiko kepada mereka apabila melakukan kesalahan jenayah, pada peringkat awal lagi,” katanya.

Shahrizat juga mengingatkan bahawa sesiapa yang melakukan penderaan terhadap kanak-kanak boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001.

“Juga di bawah Seksyen 319 Kanun Keseksaan, kesalahan menyalahgunakan individu termasuk kanak-kanak seperti menyebabkan penderaan boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara dua tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Bagaimanapun Jabatan Penjara menafikan dakwaan 32 pelajar lelaki itu didera secara fizikal semasa menyertai kursus motivasi di Penjara Kluang.

Ketua Pengarah Penjara Datuk Zulkifli Omar berkata hasil siasatan awal mendapati dakwaan para pelajar terbabit bahawa mereka ditumbuk, dipukul dan mendapat layanan di luar daripada batasan adalah tidak benar.

Bagaimanapun, katanya siasatan terperinci sedang dijalankan.

Tiada ulasan: