Khamis, 4 Ogos 2011

Saifuddin: KPT serah Unisel selesai isu Naib Canselor


KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi tidak mahu mencampuri isu Datuk Dr Rosti Saruwono yang mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) dengan memberi notis 24 jam berkuat kuasa hari ini.

Pun begitu, kata Kementerian Pengajian Tinggi, pihaknya berharap sebagai sebuah pusat pengajian tinggi swasta Unisel akan mengambil prosedur mengikut prinsip autonomi universiti.

“Setakat ini, kami difahamkan beliau letak jawatan kerana tak bersetuju dengan arahan pihak atasan yang mahu dilucutkan jawatan tiga pegawai kanan.

“Jika ini benar, maka saya hormati pendirian beliau yang berprinsip kerana universiti ada autonomi tersendiri. Walaupun pihak yang memiliki atau menguasai universiti ada hak atas perjalanan universiti, tapi mereka perlu ikut prosedur sedia ada. Prosedur itu pula perlu selaras dengan prinsip autonomi universiti iaitu prinsip sakral yg diamalkan secara universal,” kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin mengulas perkembagan di Unisel yang menyaksikan Rosti meletakkan jawatan berkuat kuasa hari ini.

Bagaimanapun Saifuddin, kementeriannya terkejut dengan berita itu dan sedang mendapatkan maklumat terperinci tentang apa sebenarnya yang berlaku.

“Oleh kerana ia (Unisel) ialah IPTS, Kementerian Pengajian Tinggi tak terlibat dalam ehwal pengurusannya,” kata beliau lagi.

Saifuddin menambah, kementeriannya akan memantau perkembangan berhubung isu itu dan berharap ia dapat diselesaikan segera keran ia jawatan pengurusan tertinggi universiti.

“Bimbang jika berlarutan, ia boleh mengganggu perjalanan dan menggugat prestasi,” katanya lagi.

Semalam, Rosti mengesahkan peletakan jawatannya sambil berkata “ada keputusan yang saya tak sanggup laksanakan iaitu untuk melucutkan jawatan tiga pegawai Unisel tanpa proses sewajarnya.”

Difahamkan, Rosti telah diarahkan oleh kepimpinan Unisel untuk melucutkan jawatan tiga pegawai iaitu Pendaftar Rokmaa Mat, Dekan Fakulti Perniagaan Prof Dr Khalifah Othman dan Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat Halid Hasbullah.

Rosti pernah berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Bahagian Pendidikan Petronas dan rektor pertama Universiti Teknologi Petronas sebelum dilantik sebagai Naib Canselor Unisel pada 2 Mac 2009.

Beliau menggantikan Prof Datuk Dr Mohd Razali Agus yang mengosongkan jawatan itu pada Julai 2008.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri telah menerima keputusan Rosti dan “tidak membantah keputusan beliau untuk meletak jawatan.”

Sehubungan itu kata Khalid, “bagi memastikan peletakan jawatan ini tidak mengganggu pembangunan Unisel dan usaha menjadikan universiti tersebut sebagai salah satu universiti terbaik Malaysia, kerajaan negeri telah memberi tugasan kepada sebuah jawatankuasa.”

Jawatankuasa itu terdiri daripada Datuk Dr Ir Muhamad Zohadie Bardaie, Datuk Dr Adnan Alias dan Datuk Dr Mohamed Ariffin Aton, yang kesemuanya merupakan ahli lembaga pengarah universiti itu.

Khalid berkata jawatankuasa ini telah pun ditubuhkan dan berjalan bagi menyelesaikan masalah dalaman yang melibatkan hal ehwal pentadbiran dan pengurusan Unisel.

“Kami telah jangka masalah ini akan berlaku dan menubuhkan jawatankuasa agar dapat menolong menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Mengenai dakwaan bahawa Rosti dipaksa memecat tiga orang pegawai Unisel, Menteri Besar berkata perkara itu telah dibincangkan lebih awal bersama Naib Canselor dan tiga Timbalan Naib Canselor.

“Dr Rosti terlibat dalam perbincangan ini dan beliau tahu keputusan yang telah dibuat. Malah beliau juga telah menandatanganinya,” katanya.

Tiada ulasan: