Rabu, 3 Ogos 2011

PRU-13: MB Perak nafi adakan pilihan raya olok-olok

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMUR— Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menafikan pihaknya pernah mengendalikan pilihan raya olok-olok bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Anda kena tanya dari mana mereka dapat laporan itu, sumber-sumber dan oleh kerana kami tidak mengadakan sebarang pilihan raya olok-olok ... ini bukan daripada sumber-sumber Umno, saya boleh memberitahu anda dengan segera bahawa ini bukan daripada ... kami tidak mengadakan sebarang pilihan raya olok-olok,” kata beliau kepada pemberita di Ipoh hari ini.

Menurut laporan Astro Awani hari ini, Zambry (gambar) berkata laporan yang dibawa oleh The Malaysian Insider semalam hanya satu andaian.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, Barisan Nasional (BN) Perak sedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan sedang melakukan pelbagai usaha progresif untuk memastikan perikatan itu menguasai negeri.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 27 Meri lalu memutuskan mengadakan simulasi pilihan raya olok-olok mengikut bahagian parti pada bulan Julai.

Semalam, The Malaysian Insider membawa laporan BN boleh kehilangan Perak dan Negeri Sembilan pada pilihan raya umum ke-13, demikian menurut keputusan pilihan raya olok-olok melainkan parti-parti komponennya meletakkan muka-muka popular yang berpotensi dan memastikan jentera di peringkat akar umbi menjana sokongan pengundi.

The Malaysian Insider difahamkan pilihan raya latihan yang diadakan baru-baru ini menunjukkan BN boleh kehilangan sehingga 15 daripada 56 kerusi di Johor, dikuasai Pakatan Rakyat.

Persekitaran itu tidak pernah diduga tetapi BN telah hilang enam kerusi di Johor pada pilihan raya umum 2008.

Daripada enam kerusi itu PAS menguasai dua manakala DAP pula enam.

Difahamkan Perlis, di mana BN menguasai 14 daripada 15 kerusi, kemungkinan akan kehilangan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri dan salah satu daripada tiga bahagian Parlimen di tangan Pakatan Rakyat disebabkan kemarahan penduduk negeri itu mengenai isu Wahabi termasuk tindakan meletakkan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dalam senarai pengganas.

“Pilihan raya olok-olok ini menunjukkan banyak kelemahan. Dan, isu Wahabi tidak membantu,” kata satu sumber Umno kepada The Malaysian Insider.

Seorang pemimpin Umno yang semakin meningkat juga memberikan sentimen yang sama sambil menegaskan, BN perlu meletakkan muka-muka baru untuk menyegarkan kedudukan perikatan itu sementara memastikan jentera peringkat bawah peringkat aktif bagi mendapatkan sokongan menyeluruh.

“Masalahnya ialah jentera Umno boleh bekerja jika diberikan motivasi, tetapi ahli parti komponen kelihatan tidak diberikan motivasi,” kata pemimpin Umno itu.

Beliau mendedahkan bahawa Umno hanya boleh menang 27 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri di Perak meskipun BN memerintah semula negeri itu sejak awal 2009 ekoran tindakan melompat parti melibatkan tiga wakil rakyat dari Pakatan Rakyat.

Pada Jun lalu, Umno negeri itu yakin boleh menang 33 kerusi dengan Zambry menolak laporan The Malaysian Insider bahawa kemenangan hanya boleh dipastikan jika calon yang betul dipilih kali ini.

Dalam pada itu Bernama Online memetik Timbalan Presiden MIC Datuk Dr S. Subramaniam berkata beliau yakin BN tidak akan kehilangan Perak dan Negeri Sembilan pada pilihan raya umum akan datang berikutan sokongan rakyat terhadap BN didapati semakin meningkat.

Beliau berkata ini berdasarkan pengumuman Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Isnin bahawa pilihan raya olok-olok yang dijalankan parti itu sejak Mei lepas menunjukkan peningkatan sokongan rakyat terhadap Umno dan BN di seluruh negara.

“Sokongan terhadap BN sudah meningkat berbanding dahulu. Jadi tanggapan Lim Kit Siang (Penasihat DAP) yang menyatakan pembangkang akan menawan Perak dan NS adalah kurang tepat jika mengambil kira pilihan raya olok-olok yang dibuat oleh Umno,” kata Subramaniam di Gemas hari ini.

Dalam masa yang sama, Subramaniam meminta pemimpin dan anggota MIC supaya peka dengan permasalahan rakyat kerana keadaan politik pada hari ini tidak serupa dengan dahulu.

“Jangan biarkan orang lain naikkan permasalahan rakyat. Biar MIC jadi wira dan ke hadapan dalam memperjuangkan isu-isu masyarakat kita,” katanya.

Timbalan Presiden MIC itu yakin dengan memperjuangkan isu rakyat, sokongan akan kembali kepada BN.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid pula berkata sehingga ini semua itu adalah andaian dan hanya akan terbukti apabila pilihan raya nanti.

Zahid juga percaya kepimpinan Menteri Besar Besar Perak mampu mempertahankan BN di negeri itu.

Tiada ulasan: