Khamis, 25 Ogos 2011

PENTINGNYA USRAH DIKALANGAN PEMUDA

Oleh ibnuhusin

Kepentingan Usrah tidak perlu dibahaskan lagi kerana ia merupakan agenda yang telah direncanakan oleh Rasulullah s.a.w bahkan dilaksanakan dizaman baginda dan golongan yang mengikut jejak langkah Rasulullah s.a.w.

Apa yang menjadi masalah, usrah merupakan suatu istilah yang tidak difahami oleh golongan tertentu. Apa yang lebih malang adalah memahami kepentingan usrah tetapi mengabaikan keterlibatan untuk mengikuti usrah-usrah yang diadakan apalagi dikalangan pemuda.

Siapa yang bertanggungjawab sebenarnya? Ramai dikalangan kita memahami kepentingan usrah bahkan mengetahui kesan terhadap seseorang yang sentiasa mengikuti usrah. Kesannya adalah perubahan pada seseorang dapat dilihat sekiranya sering mengikuti usrah di mana perubahan ini membimbangkan golongan yang tidak ada rasa cinta terhadap islam apalagi perjuangan islam. Sistem tarbiyyah melalui usrah ini amat berkesan dan kita dapat melihat ianya merupakan agenda awal yang diatur oleh baginda sewaktu berada di Mekah; dilaksanakan di rumah Arqam bin Abi Arqam.

Justeru, setiap daripada kita tidak boleh meninggalkan agenda dakwah dengan meninggalkan usrah sebagai tunjang tarbiyyah untuk terus mara kehadapan disaat berada di medan dakwah. Hari ini kita melihat keadaan anak muda yang begitu teruk diabaikan sistem pendidikan sebenar terhadap mereka sehingga akhirnya bebas melakukan apa sahaja. Kita dapat melihat sistem pendidikan islam adalah pilihan terakhir kebanyakan ibu bapa hari ini. Kerana apa??? Kepentingan akademik diutamakan daripada kepentingan agama. Justeru, mereka yang berada di sekolah-sekolah agama adalah terdiri dikalangan mereka yang rosak akhlaknya menyebabkan tugas guru-guru agama menjadi berat berpunca daripada sikap ibu bapa itu sendiri.

Mengapa agama menjadi pilihan terakhir?? Apakah kita bimbang untuk mendidik anak-anak dengan pendidikan islam? Tidakkah kita yakin dengan janji Allah berkenaan dengan rezeki yang Allah tuliskan untuk setiap manusia setelah roh ditiupkan kepadanya sejak berada di alam rahim. Oleh itu, kami pihak pemuda mengajak seluruh rakyat Malaysia berfikir tentang perkara ini dan bukanlah bermakna semuanya perlu dihantar ke sekolah agama.

Bagi mereka yang tidak dapat pendidikan keagamaan yang khusus perlu kepada Usrah. Di sinilah pentingnya peranan ibu bapa perlu membiarkan anak-anak mereka bebas mengikuti usrah bukan membiarkan anak-anak bebas keluar rumah bergaul dengan rakan-rakan yang tidak diketahui akhlaknya. Dalam konteks ini, Parti Islam Se Malaysia (PAS) memainkan peranan yang besar dalam mewujudkan usrah dikalangan pemuda dalam bentuk yang boleh menarik pemuda. Pada masa yang sama ada pengisian terhadap mereka yang memberikan manfaat untuk pembentukan rohani atau jasmani mengikut syariat islam. Besarnya peranan PAS adalah kerana ianya merupakan sebuah Parti Islam yang memperjuangkan Islam dan jamaah yang paling terkenal di Malaysia serta diketahui umum termasuk mereka yang berada di Luar Negara.

Oleh yang demikian, Pemuda Pas Dun Chukai(PPDC) mengharapkan keterlibatan anak muda dalam bersama mengikuti usrah yang diadakan di seluruh Malaysia mengikut kaedah dan kesesuaian di tempat masing-masing. Kita juga mengharapkan keterlibatan ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak untuk mengikuti Usrah yang diadakan. Ibu bapa hanya perlu pemimpin PAS di kawasan masing-masing untuk menyerahkan anak-anak mereka bagi tujuan tarbiyyah seperti mana yang diatur oleh Rasulullah dizaman awal Islam. Sekali lagi kami mengharapkan keterlibatan semua pihak bagi menjayakan agenda yang besar dan dapat memberikan impak yang besar sekiranya Berjaya dilaksanakan apalagi dalam menghadapi PRU-13 yang sudah tidak lama lagi diadakan.

Tiada ulasan: