Sabtu, 20 Ogos 2011

Pemuda PAS Sambut Baik Langkah Sinar Jejak Pemilih

Ditulis oleh Fauzan Uda Ahmad


SHAH ALAM : Akhbar Sinar Harian hari ini mengambil langkah proaktif dan tepat dengan membuktikan bahawa enam individu yang didakwa Pemuda PAS sebelum ini, tidak terlibat dalam senarai bertindih daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengarah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda Pas, Suhaizan Kaiyat berkata dakwaan bersabit daftar pemilih bertindih itu adalah hasil proses semak dan imbang yang dijalankan oleh pihak Pemuda Pas.

Justeru, pihaknya menyambut baik langkah Sinar menjejak dan mengesan individu yang disyakki namanya didaftar sebanyak dua kali dalam senarai daftar pemilih SPR.

“ Jadi kalau benar apa yang diperkatakan, saya ucapkan tahniahlah kepada Sinar yang membuat usaha yang baik , untuk menjejaki mereka. Yang kedua saya mengucap terima kasih kepada keenam-enam individu ini yang telah telah tampil kehadapan memberikan maklumat yang sebenar,” katanya.

Akhbar Sinar Harian hari ini menampilkan enam individu berbeza yang mempunyai nama sama bagi mencari kebenaran bersabit dakwaan PAS sebelum ini.
Nama- nama yang mempunyai persamaan itu ialah Azhar bin Ahmad, Besah binti Mat dan Mansor bin Ahmad.
“Kepada kita inilah proses semak dan imbang. Bila Timbalan Pengerusi SPR sebut bahawa adanya kad pengenalan klon dan Dewan Pemuda berusaha keluarkan data-data ini.
"Maknanya data ini bagi kita untuk mengesan nama- nama umum ni yang biasa kita dengar nama-nama macam Ahra bin Ahmad ni selesai. Jadi dah ada enam orang, bermakna selesailah tahap satu ini,” katanya.
Menurut Suhaizan, Pemuda PAS tidak akan menghentikan usahanya melakukan proses semak dan imbang senarai nama pemilih dan akan mendedahkan beberapa lagi nama pemilih berdaftar yang mencurigakan.

“Jadi sekarang ni Dewan Pemuda akan keluarkan satu daftar yang nama- namanya yang pelik. Contohnya Jumaiyah bt Alus, Sainam bin Tukisan, Katimah Katni dan pengundi pos seperti Nisam Banu, Lanudin bin Ngah Mat Nasir. Kita nak semuanya tampilkan diri, benar atau tdak,” jelas Suhaizan.
Menurut Suhaizan, usaha semak dan imbang yang dilakukan Pemuda PAS itu terbukti berhasil apabila terdapat sejumlah nama yang dipertikaikan telah di keluarkan oleh SPR dari senarai daftar pemilih.
“Dan kita telah kenal pasti apabila kita keluarkan maklumat-maklumat yang ada ni kita dapati bahawa data yang asalnya kita ada itu bila kita semak semula data itu dah tak ada dah Sebahagian data tu dah tak ada sekarang.
"Maknanya SPR telah membuat semakan dan membatalkan beberapa nama yang seiras dengan kes pertama tadi, kes Azhar bin Ahmad, Misbah binti Mat dan Mansor bin Ahmad,” katanya.

Tiada ulasan: