Jumaat, 12 Ogos 2011

Peguam Anwar temu bual Najib, Rosmah setengah jam

TERKINI


KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor ditemu bual oleh peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes liwat Ketua Pembangkang itu hari ini.

Najib dan Rosmah (gambar) ditemu bual kira-kira setengah jam di Kompleks Jalan Duta petang ini.

Kedua-dua mereka dilaporkan tiba di kompleks itu pada pukul 2.55 petang dan keluar kira-kira setengah jam kemudian.

Laporan The Star Online menyebut Najib dan Rosmah ditemu bual oleh peguam utama Anwar, Karpal Singh, S.N. Nair dan Datuk Param Cumaraswamy.

Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir semasa temu bual 15 saksi, termasuk Najib dan Rosmah.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan bahawa tertuduh mempunyai hak untuk hadir semasa temu bual berkenaan.

Kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan memohon perintah hakim perbicaraan selepas dua saksi iaitu bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof membantah kehadiran Anwar semasa temu bual itu Selasa lalu.

Isnin lepas, Zabidin membenarkan permohonan Anwar untuk menemu bual 15 saksi termasuk Najib, Rosmah, Musa, Rodwan dan 11 orang lagi.

Hakim itu turut menetapkan 15 hingga 26 Ogos bagi kes pembelaan.

Di akhir kes mereka, pendakwaan menawarkan 71 saksi, termasuk Najib dan Rosmah. Pihak pembelaan memilih untuk menemu bual hanya 25 orang dan setakat ini, hanya lima orang yang telah pun ditemu bual setakat Isnin lalu.

Mereka ialah bekas ratu pecut negara, Datuk Mumtaz Jaafar, Dr Mohd Osman Abd Hamid, yang sebelum ini bertugas di Pusrawi, adik perempuan bongsu Mohd Saiful Bukhari Azlan iaitu Saidaiti Azlan, seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur yang hanya dikenali sebagai Dr Daniel, dan Khairil Anaz Yusof, pembantu khas Najib ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Pada 16 Mei, Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan bahawa bekas pembantnya Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes itu, adalah seorang saksi yang boleh dipercayai dan berwibawa.

Anwar, 64, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, atas tuduhan melakukan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun yang sama.

Tiada ulasan: