Ahad, 28 Ogos 2011

PAS: Jual Esso kepada firma Filipina bukti BN terus gagal

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — PAS memandang serius cadangan penjualan Esso Malaysia Berhad dan syarikat berkaitannya kepada San Miguel Corporation — sebuah syarikat Filipina — dan mendakwa ia satu lagi kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kepentingan negara dalam industri strategik.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata urusan jualan itu jika diteruskan akan memberi kesan negatif jangka panjang kepada industri minyak dalam negara.

Baru-baru ini, San Miguel mencadangkan kepada ExxonMobil International Holdings Inc, untuk mengambil alih 65 peratus kepentingan ekuiti dalam Esso Malaysia melibatkan dana RM614.25 juta. Esso Malaysia ialah anak syarikat ExxonMobil International.

San Miguel berkata syarikat itu juga merancang membuat penawaran pengambilalihan mandatori untuk memperoleh baki saham yang tidak dimiliki oleh syarikat selepas cadangan pengambilalihan itu.

Serentak dengan tawaran pengambilalihan Esso Malaysia, San Miguel juga mencadangkan kepada Mobil International Petroleum Corp dan ExxonMobil International untuk mengambil alih ExxonMobil Malaysia dan ExxonMobil Borneo pada paras AS$403.979 (RM1.2 billion) juta.

Cadangan pengambilan alihan itu akan menyediakan San Miguel dengan peluang unik untuk meluaskan portfolio peniagaan penapisan dan pemasaran minyak di luar Filipina.

Awal minggu ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga meminta Putrajaya memberi penjelasan mengenai isu tersebut.

“Perlu diingat bahawa urusan niaga itu juga termasuk loji penapisan minyak milik Esso di Port Dickson, yang merupakan aset penting negara.

“Pihak kerajaan melalui pihak berkuasa kementerian yang berkenaan wajib untuk tidak meluluskan urus niaga tersebut dan Esso mestilah menawarkan penjualan asetnya kepada syarikat dalam negara, sebagaimana yang ditawarkan oleh beberapa pihak yang menunjukkan minatnya seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),” kata Hadi lagi.

Hadi menambah, perlu diingatkan bahawa Kongres Amerika Syarikat pernah menghalang penjualan Union Oil of California kepada syarikat minyak milik negara China atas kepentingan strategik.

“Sepatutnya kerajaan yang ada ini, bersama dengan Petronas melalui Petronas Dagangan Berhad bertindak untuk menentukan keselamatan bekalan bahan petroleum dan harga bahan petroleum kekal pada paras yang munasabah.

“Sekali gus Petronas Dagangan juga tidak boleh melupakan peranannya untuk membina dan mempertahankan usahawan-usahawan Bumiputera yang turut menyumbang kepada kerancakan perkembangan ekonomi negara,” katanya.

Kata Hadi, walaupun Petronas Dagangan menduduki tempat pertama dalam pasaran bahan petroleum dan negara, penguasaannya dalam syer peruncitan iaitu pasaran stesen minyak hanyalah sekitar 30 peratus walhal sektor ini dipercayai menyumbangkan lebih 60 peratus dari keuntungan Petronas Dagangan.

“Sektor inilah yang paling banyak menerima subsidi kerajaan di mana hampir 70 peratus jumlah subsidi yang dibayar dengan menggunakan wang rakyat mengalir kepada syarikat-syarikat luar negara seperti ExxonMobil, Shell dan Caltex.

“Sepatutnya kerajaan yang menguasai Petronas Dagangan mempunyai pandangan strategik dengan menjadi syarikat pertama untuk mengambil alih Esso sekali gus menguasai sektor ini dari 30 peratus kepada hampir 50 peratus,” katanya.

Beliau menambah PAS percaya bahawa masih belum terlambat bagi Petronas Dagangan atau LTAT untuk memulakan perundingan bagi mengambil alih Esso.

“PAS juga mendesak kerajaan supaya menyemak semula penstrukturan subsidi minyak supaya syarikat-syarikat luar negara tidak membolot sebahagian besar jumlah subsidi kerajaan yang berjumlah berbilion-bilion ringgit.

“Kerajaan dan Petronas mestilah bertindak pantas secara strategik supaya kestabilan bekalan bahan petroleum domestik pada paras harga munasabah terus dibina dan dilindungi dan kepentingan negara tidak terhakis,” katanya lagi.

Malah kata beliau, PAS tidak akan bertolak ansur dalam isu strategik dan mempunyai impak jangka panjang kepada keselamatan negara, perkembangan ekonomi dan kepentingan rakyat Malaysia seperti penjualan Esso kepada kepentingan luar.

Tiada ulasan: