Selasa, 23 Ogos 2011

Pakatan tak wajar persoal panel khas, kata timbalan menteri




KUALA LUMPUR— Datuk Saifuddin Abdullah meminta Pakatan Rakyat menyertai jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pembaharuan sistem pilihan raya yang bakal ditubuhkan Oktober ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini berkata, tindakan pemimpin Pakatan Rakyat yang mempersoalkan keikhlasan pentadbiran Najib sangat dikesali.

“Pembangkanbg desak Barisan Nasional (BN) macam-macam, kini bila BN cadangkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen... kenapa pula nak pulaukan.

“Saya harap Pakatan Rakyat terima dan sertai jawatankuasa pilihan khas Parlimen ini. Saya juga harap jawatankuasa ini membincangkan melangkaui tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0),” kata ahli Majlis Tertinggi Umno ini kepada The Malaysian Insider.

Saifuddin (gambar) menambah: “BN, Pakatan Rakyat dan Bebas wajar dibenarkan membawa pemikiran-pemikiran yang bernas untuk bukan sekadar memperbaiki sistem pilihan raya sahaja tetapi juga keseluruhan amalan demokrasi di negara ini.”

Pakatan Rakyat akan memutuskan pendirian sama ada mahu menyertai jawatankuasa itu esok, dengan beberapa pemimpin utama berkata kemungkinan akan memulaukan jawatankuasa itu jika tidak memenuhi syarat perikatan tersebut.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengatakan pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan bila-bila masa dan tidak akan bergantung pada prosiding jawatankuasa pilihan khas Parlimen.

Bersih 2.0 sebelum ini berkata jawatankuasa pilihan khas Parlimen tidak akan bermakna sekiranya pilihan raya umum ke-13 diadakan sebelum pembaharuan sistem pilihan raya dilakukan.

Najib juga meminta pihak-pihak yang mempertikaikan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pembaharuan sistem pilihan raya agar tidak meragui keikhlasan kerajaan meskipun kemungkinan pilihan raya umum ke-13 diadakan lebih awal. - menambah pentadbirannya komited mahu melakukan reformasi pilihan raya.

Jelas Saifuddin, pentadbiran Najib ikhlas untuk menubuhkan jawatankuasa pilihan khas itu selain komited untuk melakukan reformasi pilihan raya.

“Ini penting dalam mewujudkan amalan politik baru bagi mematangkan demokrasi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Saya beranggapan bahawa jawatankuasa ini perlu melihat sistem pilihan raya kita dengan holistik, ia perlu mengkaji perkara-perkara dasar dalam sistem pilihan raya dan amalan demokrasi kita termasuk menilai sejauh mana kita melaksanakan beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan pilihan raya dan demokrasi,” katanya.

Mengakui bukan semua tuntutan Bersih 2.0 boleh dilaksanakan sebelum pilihan raya umum ke-13, namun Saifuddin menegaskan Putrajaya perlu melaksanakan mana-mana tuntutan atau perkara yang “boleh disegerakan.”

“Oleh kerana jawatankuasa ini perlu melihat sistem pilihan raya secara holistik maka mana-mana perkara yang boleh dijalankan dengan segera, perlulah dilaksanakan segera iaitu dalam pilihan raya umum ke-13.

“Tetapi mana-mana perkara yang memerlukan perubahan yang besar contohnya (melibatkan) pindaan Perlembagaan Persekutuan maka ia mungkin tidak sempat dilaksanakan sebelum pilihan raya umum ke-13,” katanya.

Justeru kata Ahli Parlimen Temerloh ini, beliau berharap Pakatan Rakyat tidak menjadikan keengganan Putrajaya mahu melaksanakan semua tuntutan sebagai alasan untuk tidak menyertai jawatankuasa itu.

“Dalam hal ini saya rasa jawatankuasa perlu menetapkan rancangan pelaksanaannya dulu, seandainya apabila tempoh (mandat) Parlimen telah tamat dan masih ada perkara yang belum diputuskan maka pilihan raya umum ke-13 tetap akan diadakan.

“Memang tidak boleh jamin semua kerja-kerja jawatankuasa ini akan siap sebelum April 2013... sesiapa pun tidak boleh jamin,” katanya.

Bagaimanapun jelas Saifuddin, beliau juga meminta semua pihak termasuk Pakatan Rakyat agar bertenang sehingga jawatankuasa pilihan khas itu ditubuhkan.

Ini kerana jelas beliau fungsi dan tugas jawatankuasa itu hanya akan diketahui selepas ia ditubuhkan.

Ditanya mengenai keanggotaan jawatankuasa itu, Saifuddin berkata “ia adil” kepada semua pihak termasuk Pakatan Rakyat.

“Keanggotaan jawatankuasa ini adalah adil, definisi adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya.

“Dalam Dewan Rakyat BN lebih daripada Pakatan Rakyat dan Bebas, jadi komposisi lima (BN), tiga (Pakatan Rakyat) dan satu Bebas adalah adil,” katanya.

Jawatankuasa pilihan khas Parlimen akan dibentuk rangka kerjanya berdasarkan lapan tuntutan Bersih 2,0.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, perkara itu dipersetujui selepas mengadakan pertemuan dengan wakil dari Dewan Rakyat, Jabatan Peguam Negara dan kedua-dua pengerusi dan timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tiada ulasan: