Jumaat, 12 Ogos 2011

Naluri saya kuat, arwah Shamil dianiaya sebelum dibunuh- Ibu

Oleh: Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR: Norhafizah Mohd Razali, 45, ibu kepada salah seorang remaja yang mati ditembak polis di Glenmarie Shah Alam November tahun lalu, tetap percaya anaknya dianiayai pihak polis sebelum dibunuh.

Anaknya, Mohammad Shamil Hafiz Shapiei yang berusia 15 tahun pada masa itu ditembak mati bersama Mohd Khairul Nizam Tuah, 20, dan Mohd Hanafi Omar, 22 tahun.

“Sebagai seorang ibu, naluri saya kuat mengatakan bahawa Shamil dan rakan-rakannya mati dibunuh. Selepas laporan bedah siasat, saya mula syak yang mereka telah dianiaya.

“Terbukti mereka berkedudukan dalam keadaan menyerah diri, dalam keadaan mencangkung (ketika ditembak). Jadi mengapa mereka dibunuh?,” soal beliau.

Semalam, Norhafizah bersama dua keluarga remaja lain diwakili Hamidah Kadar, 51, iaitu ibu Mohd Khairul dan Omar Abu Bakar,58, bapa Mohamad Hanafi, membuat satu lagi laporan polis berhubung kejadian itu.

Sebelum ini, laporan bedah siasat mendapati kematian berpunca tembakan jarak dekat dari sudut 45 darjah, yang menunjukkan tembakan dilepaskan ketika tiga remaja itu sedang berlutut atau mencangkung.

Polis sebelum ini mendakwa kononnya ketiga-tiga remaja itu cuba merompak stesen minyak, namun Hafizah sangsi dengan dakwaan tersebut.

“Langsung tiada bahan bukti yang mahu mengaitkan mereka dengan kes rompakan stesen minyak.

“Anak saya, Shamil hanya mempunyai wang berjumlah 20 sen sahaja ketika diperiksa kocek seluarnya,” ujar beliau.

Norhafizah berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk membawa kes pembunuhan anaknya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan akan berjumpa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri HIshamuddin Hussein dalam masa terdekat.

“Walaupun pihak berkuasa cuba melengah-lengahkan masa, keluarga kami akan tetap teruskan perjuangan untuk tegakkan keadilan bagi pihak arwah Shamil.

“Kami akan menemui Perdana Menteri kalau masih tak ada maklum balas (daripada polis).

“(Dan) dalam masa terdekat kami akan ke Putrajaya untuk berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein,” kata Norhafizah.

Menurutnya lagi, beliau akan meneruskan usaha menuntut keadilan di atas kematian Shamil dan dua rakan-rakannya walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan.

“Keluarga kami akan teruskan walaupun sehingga kini masih gagal menuntut siasatan adil walaupun selepas berulang kali menemui polis di Shah Alam dan Bukit Aman.

“Keluarga kami menyeru kepada pihak media untuk meneruskan liputan terhadap kes ini. Hari ini keluarga saya yang kena. Saya tak mahu ada anak-anak dari keluarga lain menerima nasib seperti saya,” kata Norhafizah.

Tiada ulasan: