Selasa, 2 Ogos 2011

Najib selesai bedah lutut, MB Kedah stabil di IJN

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menjalani pembedahan lutut kirinya, yang cedera akibat bersukan, melalui pembedahan “arthoscopic” di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata pembedahan dilakukan secara minimum dengan memasukkan peralatan skop untuk melihat kerosakan lututnya, dan menerusi skop tersebut, alat pembedahan digunakan untuk membaiki kecederaan tersebut bermula pada pukul 8.30 pagi.

Pembedahan berjalan dengan baik dan hanya mengambil masa selama 45 minit, katanya dalam satu kenyataan dipetik Bernama Online.

“Para doktor yang bertanggungjawab puas hati dengan hasil pembedahan tersebut,” katanya.

Dr Hasan berkata Perdana Menteri (gambar) telah dinasihatkan supaya berehat di hospital sehingga Rabu ini, dan beliau dijangka boleh memulakan semula tugas pada minggu hadapan.

Dalam pada itu kesihatan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang dimasukkan di Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani rawatan serta pemeriksaan jantung, tidak membimbangkan dan berada dalam keadaan stabil.

Menurut Setiausaha Akhbar beliau, Mohd Helmi Khalid, Azizan yang menghidap penyakit darah tinggi dimasukkan ke IJN Jumaat lalu selepas mengadu sakit jantung.

“Doktor yang memeriksa beliau mendapati satu saluran ke jantungnya ada masalah (tersumbat) dan menasihatkan Menteri Besar tinggal lebih lama untuk dirawat, selain bagi menstabilkan tekanan darahnya.

“Kesihatan Menteri Besar dalam keadaan stabil sekarang, tetapi saya tidak tahu bila doktor akan membenarkan beliau keluar dari IJN,” katanya.

Mohd Helmi berkata doktor juga tidak membenarkan Azizan menerima pelawat bagi mengelak gangguan terhadap proses rawatan dan membolehkan tekanan darah beliau kembali normal dengan lebih cepat.

Bagaimanapun, beliau berkata Sultan dan Sultanah Kedah serta beberapa anggota Exco kerajaan negeri itu sempat menziarahi Azizan.

Tiada ulasan: