Isnin, 22 Ogos 2011

Najib, Nazri didakwa hina Parlimen

Mahfuz menganggap penubuhan jawatankuasa tersebut hanya semata-mata untuk kepentingan politik Barisan Nasional.



KUALA LUMPUR: Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghina Parlimen apabila tidak menghormati penubuhan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen seperti yang diputuskan jemaah menteri Rabu minggu lalu.

Najib pada Jumaat lalu menegaskan pilihan raya umum (PRU) akan datang boleh diadakan pada bila-bila masa dan tidak terikat dengan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai penambahbaikan pilihan raya.

Kesal dengan kenyataan Najib itu, Mahfuz menganggap penubuhan jawatankuasa tersebut hanya semata-mata untuk kepentingan politik Barisan Nasional (BN) dan menurunkan suhu politik terhadap tuntutan rakyat yang mahu melihat sistem pilihan raya berubah.

“Beliau sepatutnya tunggu jawatankuasa tersebut selesaikan tugas mereka dan kemukakan cadangan kepada kerajaan bagi mengatasi masalah yang berbangkit.

“Kalau tubuh hanya nak turunkan suhu (tekanan) politik kemudiannya bubar saya rasa itu satu penghinaan kepada Parlimen oleh kuasa eksekutif,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Pas di sini hari ini.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena tidak menolak kemungkinan kenyataan yang dikeluarkan Najib itu akibat tekanan yang diterimanya daripada musuh politik dalamannya daripada Umno-BN sendiri.

“Adakah kenyataan itu dibuat selepas mesyuarat Kabinet atau selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang menyebabkan beliau menerima tekanan politik daripada musuh-musuh dalaman sendiri sehingga menyebabkan beliau berkata sedemikian,” soal beliau.

Selain itu, beliau turut menyelar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang membuat kenyataan mengenai keputusan jawatankuasa tersebut sekaligus membelakangi kuasa Parlimen terutamanya apabila melibatkan jumlah kuota anggota yang terlibat.

Sembilan wakil

Nazri dalam pengumumannya minggu lalu memutuskan jawatankuasa itu dianggotai sembilan wakil Ahli Parlimen; lima daripadanya BN, Pakatan Rakyat (3) dan sorang wakil Bebas.

“Sekarang ini menteri sudah mendahului Parlimen. Menteri yang jaga parlimen ni hina Parlimen kerana tak tunggu keputusan Parlimen sedangkan yang dipertikaikan selama ini adalah sistem pilihan raya kerajaan tetapi tiba-tiba kerajaan pula yang jadi pengerusinya.

“Kita bimbang dengan keanggotaan ini jawatankuasa itu tak akan memberi apa-apa makna mengenai proses penambahbaikan proses perjalanan pilihan raya,” katanya.

Beliau menegaskan Suruhanjaya DiRaja adalah yang terbaik bagi menggantikan jawatankuasa itu kerana ia boleh melibatkan suara badan bukan kerajaan (NGO) bagi memutuskan penambahbaikan pilihan raya.

“Isu pembaharuan pilihan raya bukan hanya untuk ahk ahli Parlimen sahaja tapi hak semua orang. Semua orang sepatutnya boleh berikan pendapat,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai keputusan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) yang mahu meletakkan calon di Selangor dan Kelantan pada PRU akan datang, Mahfuz berkata pihaknya mengalu-alukan cadangan yang dikemukakan Presidennya Datuk Zaid Ibrahim.

Sambil mengakui Pakatan bukanlah satu parti yang kukuh, namun Mahfuz mengingatkan Kita supaya mencari ‘kekuatan dalamannya’ sendiri terlebh dahulu sebelum dilabel rakyat sebagai ‘pengacau’ kepada kestabilan Pakatan.

“Kami tak melihat itu menjejaskan pencapaian kita.Itu hak mereka (untuk bertanding) tetapi jangan sampai rakyat mengecam mereka sebagai kacau ganggu kepada parti yang lain,” katanya.

Tiada ulasan: