SHAH ALAM : PAS hari ini menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberikan penjelasan berhubung pendedahan pengenalan diri seorang bernama Mismah yang asalnya berstatus penduduk tetap (PR) namun berubah kepada warganegara dalam tempoh sehari.
Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu berkata, sekiranya tiada penjelasan lanjut yang dibuat oleh SPR dan JPN, badan itu sekali lagi bakal berhadapan dengan krisis kredibiliti dan dianggap menjadi kuda tunggangan Umno-Barisan Nasional menjelang pilihan raya umum ke-13.
"Selalunya (berlaku) pendaftaran pemilih tidak telus, perbuatan kotor yang dibuat di Selangor pernah dibuat di Sabah ketika Umno hendak merampas Sabah dulu dan sekarang secara ulangan dibuat di Selangor dan SPR ternyata diperkudakan oleh Umno.
"Bukan ke hari itu Datuk Wan Ahmad (Wan Omar) berkata SPR tiada kuasa berbohong, (tetapi) SPR ada kuasa memenangkan Umno,"katanya kepada Tv Selangor.
Portal Malaysiakini hari ini melaporkan SPR menafikan Mismah yang sebelum ini berstatus PR telah didaftarkan sebagai pengundi baru.
Sebaliknya menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof, berlaku kecuaian teknikal dalam sistem JPN sehingga mengakibatkan seorang berstatus PR disenarai sebagai pengundi baru melalui sistem pengesahan dalam talian SPR.
Walau bagaimanapun, Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berpendapat, SPR tidak harus menuding jari ke arah pihak lain dalam hal ini.
Katanya, SPR memainkan peranan utama dalam membersihkan daftar pemilih rakyat di negara ini.
"(Kalau) SPR (kata) tiada kuasa untuk membersihkan daftar pemilih, itu adalah pembohonglah.. tetapi untuk memenangkan BN, dia ada kuasa,"katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Mat Sabu berkata, perkara yang berbangkit ini membuatkan PAS menolak keras sistem biometrik yang mahu diwujudkan oleh kerajaan dalam mengesahkan pengundi pada pilihan raya.
Hal ini katanya kerana, masalah pengundi hantu dan pengundi berganda tidak akan dapat diselesaikan melalui sistem biometrik serta dilihat sebagai satu lagi helah 'projek baru’ yang cuba ‘dihalalkan’ oleh sebuah pemerintah bagi menjuarai ketirisan dalam menguruskan kewangan negara.
"JPN memang terlibat sekali dalam hal ini sebab itu kita menolak sekeras-kerasnya biometrik, JPN dan SPR memang memainkan peranan dan ia juga telah dibuat di Terengganu dulu,"tambah beliau lagi.
Beliau juga memberi amaran sekiranya SPR masih berdegil dengan tindak tanduknya, rakyat keseluruhannya akan bangkit menentang kepincangan ini dan mungkin bukan lagi melalui Bersih 2.0 seperti sebelum ini.
"Kita memberi amaran, kalau tidak Bersih, perhimpunan rakyat boleh bergerak sebelum atau selepas pilihan raya pun boleh, ia akan jadi seperti Mesir dan sebagainya,"kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan