Rabu, 3 Ogos 2011

MCA bahagian diminta serah senarai calon

MALAYSIA KINI


Bahagian-bahagian MCA telah diminta untuk menyerahkan senarai calon awal kepada ibu pejabat parti sebelum 6 Okt ketika parti itu giat melakukan persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sumber dalaman parti itu berkata Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha telah meminta bahagian-bahagian MCA, menerusi sepucuk surat bertarikh 22 Julai, untuk menyerahkan senarai calon berpotensi bagi bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen sebelum 6 Oktober.

"Hanya bahagian-bahagian di mana MCA akan bertanding (sebagai calon Barisan Nasional) diminta untuk menyerahkan senarai nama. Sekurang-kurangnya tiga nama setiap satu, sama ada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri berdasarkan kepada peruntukan pilihan raya umum 2008.

"Bahagian-bahagian yang kerusi pilihan raya bukan ditandingi MCA adalah terkecuali daripada arahan itu," kata sumber itu kepada Bernama.

Pada pilihan raya umum lepas, MCA menerusi tiket Barisan Nasional (BN) bertanding di 40 kerusi Parlimen dan 91 kerusi DUN. Namun, parti itu hanya memenangi 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN.

Ketika dihubungi, Kong bagaimanapun tidak banyak bercakap mengenainya, malahan tidak mengesahkan ataupun menafikan akan arahan seumpamanya pernah dikeluarkan beliau.

Beliau hanya berkata "bahagian menyerahkan nama sama ada mereka diarahkan berbuat demikian atau melakukannya sendiri".

Kong enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek semasa merasmikan Konvensyen MCA Negeri Sembilan baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata anggota parti harus berhenti membuat spekulasi mengenai senarai calon yang akan dikemukakan parti itu pada pilihan raya umum kelak.

Tiada ulasan: