Sabtu, 6 Ogos 2011

Lucutkan kuasa AG, gugur tuduhan terhadap PSM6 – Surendran

KEADILAN DAILY



KUALA LUMPUR: Kuasa pendakwaan Peguam Negara perlu dilucutkan kerana ia sering digunakan untuk pendakwaan bermotifkan politik terhadap ahli politik pembangkang dan masyarakat sivil.

Naib Presiden KEADILAN, N Surendran merujuk dakwaan terhadap enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang didakwa di bawah Seksyen 29(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (1960), Seksyen 43 dan Seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966.

Menurut Surendran, pendakwaan terhadap enam individu itu perlu digugurkan apabila mereka dikaitkan dengan kempen Gabungan Bersih 2.0 menuntut reformasi pilihan raya.

“Ia bermotifkan politik dan penyalahgunaan kuasa penyiasatan dan pendakwaan. Keenam-enam mereka mempunyai rekod bakti kepada orang ramai dan penganiayaan terhadap mereka memalukan negara,” kata beliau.

Justeru, Surendran mendesak agar kuasa peguam negara dikaji semula dengan mencadangkan seorang pengarah pendakwa raya yang berkecuali dilantik menggantikan tugas itu.

“Kuasa pendakwaan perlu dipegang seorang Pengarah Pendakwa Raya seperti biasa diamalkan di negara-negara Komanwel,” kata Surendran.

Dalam kenyataan sama, Surendran turut mengecam siasatan polis terhadap pimpinan KEADILAN, Latheefa Koya, editor Suara Keadilan dan wartawannya yang disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga mereka disiasat berkaitan berita yang ditulis tentang kelongsong gas pemedih mata dalam portal berita KeadilanDaily.com dan dipanggil ke Balai Polis Dang Wangi untuk dirakam keterangan semalam.

“Siasatan polis adalah satu bentuk pencabulan terhadap kebebasan akhbar dan satu lagi contoh gangguan berterusan polis terhadap parti pembangkang dan akhbar mereka,” kata Surendran.

Justeru, beliau menggesa polis agar menghentikan segera gangguan terhadap Suara Keadilan dan wartawannya.

Tiada ulasan: