Jumaat, 19 Ogos 2011

Larangan guna lebuh raya

Oleh Badrul Kamal Zakaria

Penguatkuasaan terhadap jentera berat bukan bawa bekalan keperluan

Oleh Badrul Kamal Zakaria


KUALA LUMPUR: Semua kenderaan yang membawa muatan berat bukan bekalan keperluan harian dilarang menggunakan lebuh raya di seluruh negara berkuat kuasa 27 dan 28 Ogos serta pada 3 dan 4 September depan sempena sambutan Aidilfitri 2011.

Larangan itu bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna lebuh raya yang akan pulang ke kampung masing-masing sebelum dan selepas Aidilfitri.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata Kabinet membuat keputusan untuk menguatkuasakan larangan itu selepas dimaklumkan lebih 1.4 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya selain membendung kemalangan maut.

“Keputusan ini selaras hasrat kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan maut terutama pada musim perayaan, ” katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha ke 13 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd, C H Ng, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Leslie Leon dan Pengerusi Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), Wee Hong.

Cho Ha berkata, kementerian juga sudah mengeluarkan panduan mengenai larangan terbabit berikutan pihaknya juga turut memberi kelonggaran dan kebenaran ke atas beberapa kenderaan berat terutama membawa bekalan penting untuk menggunakan lebuh raya pada tempoh terbabit.

“Larangan itu hanya membabitkan lori pasir, lori balak, lori pengangkut bahan binaan seperti batu, simen dan kerikil termasuk jentera berat yang lain.

“Bagaimanapun, kita tetap memberi kelonggaran terhadap kenderaan berat yang didapati membawa bekalan keperluan harian seperti membawa muatan gas dan petrol, makanan dan perubatan, ” katanya.

Katanya, kementerian akan memaklumkan mengenai sebarang maklumat berhubung tempoh perjalanan yang dibenarkan bagi setiap kenderaan terbabit dalam masa terdekat.

“Kami juga turut menyeru kepada pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka sebelum pulang ke kampung selain turut merujuk kepada jadual perjalanan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, ” katanya.

Tiada ulasan: