Khamis, 18 Ogos 2011

Kes qazaf: Anwar mohon halang Zainul Rijal wakili tiga responden

TERKINI


Anwar (kanan) mendakwa wujud percanggahan konflik kepentingan jika perwakilan tersebut dibenarkan. — Foto Reuters


KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah memfailkan permohonan di Mahkamah Syariah untuk menghalang peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mewakili tiga responden dalam kes qazaf yang melibatkan Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Jelas Anwar, permohonan itu dibuat kerana Zainul Rijal yang juga Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) telah melanggar etika dan profesionalisme peguam syarie dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak sepatutnya.

Tiga pihak itu adalah Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

“Saya telah memfailkan permohonan untuk menegah dan tidak membenarkan peguam syarie Zainul Rijal daripada bertindak ke dalam kes rayuan saya kerana beliau telah bertindak dan berkelakuan tidak profesional serta wujud percanggahan konflik kepentingan.

“Beliau juga tidak bersifat jujur dan gagal menyenggara kebebasan profesional bertentangan dengan etika peguam syarie,” katanya Anwar kepada pemberita selepas memfailkan permohonan itu.

Selain bersikap bertentangan dengan etika peguam syarie, Anwar juga menyifatkan Zainul Rijal tidak layak untuk digelar peguam kerana menerima yuran guaman sebanyak RM32,000 hasil dari wang kutipan zakat.

“Sejak 2008 saya failkan kes qazaf dan pihak pendakwa atas arahan menteri menghalang prosiding mahkamah daripada berlaku dan orang-orang ini juga mendesak agar kes mahkamah sivil berjalan tetapi kes di mahkamah syariah tidak.

“Kita dapati peguam yang digunakan untuk membela orang yang dituduh ini dibayar yuran guamannya dengan menggunakan wang zakat, mana mungkin wang zakat digunakan untuk membayar yuran guaman,” katanya.

Justeru kata Ketua Pembangkang ini, beliau mahu agar prosiding di Mahkamah Syariah dijalankan dan bukan ditangguhkan demi kepentingan pihak tertentu.

“Saya ikut peraturan syariah dengan berpandukan al-Quran dan syariat sebab itu saya rujuk perkara ini ke Mahkamah Syariah tapi nampaknya selepas dua tahun tiada apa-apa yang berlaku.

“Sebab itu saya minta prosiding di Mahkamah Syariah berjalan, saya mahu ia dimulakan tapi nampaknya ia masih belum berlaku, mereka minta hormati Mahkamah Syariah tapi prosiding masih belum berjalan dan zakat digunakan untuk membayar yuran guaman,” katanya.

Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh berhadapan dengan kes liwat kali kedua yang melibatkan Saiful pada 2008.

Anwar, 64, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, atas tuduhan melakukan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun yang sama.

Sementara itu peguam Anwar Kamar Ainiah Kamaruzaman berkata Zainul Rijal setakat ini telah menerima bayaran guaman sebanyak RM32,000 hasil wang kutipan zakat Wilayah Persekutuan.

“Perkara ini sudah dibentangkan di Parlimen dan jelas Zainul Rijal menerima yuran guaman hasil dari kutipan wang zakat untuk kes qazaf ini sahaja.

“Zainul Rijal telah melanggar etika seorang peguam syarie, sebab itu kita failkan permohonan untuk menghalang beliau mewakili tiga responden itu,” katanya menambah perkara itu disahkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jun lalu.

Anwar pada awal tahun lalu telah memfailkan permohonan di Mahkamah Syariah terhadap Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Che Mat dan Jamil Khir supaya pendakwaan qazaf terhadap Saiful dijalankan mengikut undang-undang syarie namun ditolak.

Beliau kemudian membuat rayuan di mahkamah sama pada April tahun lalu dan permohonan itu dijangka akan didengar pada Oktober ini.

Tiada ulasan: