Rabu, 3 Ogos 2011

Jabatan Penjara nafi 32 pelajar lelaki didera di Penjara Kluang

THE MALAYSIAN INSIDER

Sebahagian daripada pelajar yang mendakwa mereka didera ketika program motivasi di Penjara Kluang. — Foto ihsan Sinar Harian
PUTRAJAYA — Jabatan Penjara menafikan dakwaan 32 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda di Johor Baru bahawa mereka didera secara fizikal semasa menyertai kursus motivasi di Penjara Kluang, minggu lepas.

Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar berkata hasil siasatan awal mendapati, dakwaan para pelajar terbabit bahawa mereka ditumbuk, dipukul dan mendapat layanan di luar daripada batasan adalah tidak benar.

Bagaimanapun, katanya siasatan terperinci sedang dijalankan dan sekiranya terdapat pihak tertentu mempunyai maklumat tambahan yang boleh membantu menyelesaikan aduan itu, bolehlah kemukakan kepada beliau di talian 03-8732 8081.

Dipetik Bernama Online, beliau berkata mereka juga boleh e-mel maklumat itu kepadanya di zulkifli@prison.gov.my atau menghubungi Pegawai Komunikasi Korporat Jabatan Penjara (Puan) Rusmiza Anuar di talian 03-8732 8388.

“Pihak kami akan memaklumkan hasil siasatan terperinci dari semasa ke semasa dan berharap dapat selesaikan kes pada 5 Ogos ini,” katanya pada sidang media bersama Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Dalam laporan akhbar hari ini, sekumpulan pelajar sekolah berkenaan mendakwa mengharungi pengalaman mengerikan apabila didera petugas program selepas menyertai kem motivasi ala banduan selama tiga hari dua malam di Penjara Kluang, mulai petang Jumaat lepas.

Mereka mendakwa bukan sahaja rambut digunting pendek ala banduan, malah turut ditempeleng, ditumbuk dan diperlakukan seperti penghuni penjara apabila ada di antara pelajar turut digari hingga mereka trauma.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata program motivasi seumpama itu, yang dikenali sebagai Program Pencegahan Jenayah ‘Price of Freedom’, telahpun dilaksanakan sebanyak enam kali sebelum ini.

Katanya program itu telah dilaksanakan di SMK Bandar Penawar, Kota Tinggi; pelajar-pelajar Jabatan Kebajikan Masyarakat Zon Selatan; Sekolah-sekolah daerah Bandar Tenggara; SMK Tun Syed Nasir, Johor Baru; SMK Seri Rahmad dan SMK Majidee.

“Program ini telah mendapat persetujuan daripada Pejabat Pelajaran Daerah, pihak sekolah dan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) di daerah yang berkaitan.

“Tiada sebarang masalah yang telah dibangkitkan dan pihak Jabatan Penjara dimaklumkan program tersebut telah memberi kesan yang baik kepada kemajuan pelajaran pelajar yang terlibat,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa hampir keseluruhan kursus motivasi itu dijalankan di kem Kopen Training Consultant di Kluang dan sebahagian program di penjara olok-olok Penjara Kluang bagi pelajar-pelajar merasai suasana di dalam penjara.

Zulkifli, bagaimanapun memberi jaminan bahawa sekiranya hasil siasatan mendapati berlakunya perkara seperti yang didakwa oleh para pelajar terbabit, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib ke atas anggota yang terlibat.

Sementara itu, Abdul Ghafar berkata satu pertemuan melibatkan ibu bapa dan para pelajar terbabit, pengurusan sekolah berkenaan dan Penjara Kluang akan diadakan esok bagi mencari penyelesaian berhubung kes tersebut.

“Selepas perjumpaan esok, saya minta Pengarah Pelajaran Johor untuk sediakan laporan penuh supaya dapat ambil tindakan seterusnya,” kata beliau.

Ditanya bentuk tindakan sekiranya hasil siasatan mendapati dakwaan para pelajar terbabit tidak benar, Abdul Ghafar berkata “kita nasihat sahaja”.

Beliau berkata kursus motivasi itu adalah untuk memberi kesedaran kepada pelajar menerusi pembelajaran dan pendidikan pencegahan jenayah dan pihaknya akan meneliti program berkenaan, sama ada perlu diubah modul kursus itu atau sebaliknya.

Tiada ulasan: