Selasa, 23 Ogos 2011

DUA PENGAJARAN DARIPADA KEJATUHAN GADDAFI

RONTOG DAILY

Di satu sisi, dia menaja pergerakan pengganas tetapi dia juga mengecam keras serangan 11 September ke atas WTC.

Dia dikenali sebagai diktator yang cukup keras cengkamannya, tetapi dia juga memandu bulldozer bagi merobohkan tembok untuk membebaskan tahanan-tahanan politik.

Dia seorang nasionalis Arab tetapi dia menolak peranan Liga Arab.

Itulah sebahagian daripada imej-imej yang saling bertentangan yang terdapat pada Muammar Gaddafi, pemerintah yang ditamatkan pemerintahannya oleh kebangkitan rakyat selepas 42 tahun berkuasa di Libya.

Kini, pemerintahan Gaddafi berakhir. Dunia akan dikenang dengan seribu satu cara. Di mata sebilangan orang dia mungkin diktator, tetapi pada sebahagian yang lain dia kekal menjadi salah seorang ikon dalam perjuangan menentang pengaruh Barat. Segalanya terserah, mengikut di mana orang yang mengenang dan menilai itu berdiri.

Menggelarkan dirinya ‘raja bagi segala di Afrika’, Gaddafi menjadi nama yang cukup besar di benua itu untuk tempoh yang lama, terutama dalam melontarkan pandangan dan pendirian kontroversinya terhadap dominasi Barat.

Dilahirkan pada tahun 1942 di kawasan gurun di bahagian tengah Libya, Gaddafi yang berdarah Badwi merupakan anak kepada seorang pemimpin tempatan yang pernah dipenjarakan kerana menentang penjajah Itali.

Darah perjuangan dan ‘pemberontak’ bapanya terbukti meresap kuat di tubuh Gaddafi. Pada usia mudanya lagi dia telah disingkirkan daripada sekolah tinggi kerana mengetuai satu tunjuk perasaan. Kemudian, dia dikenakan tindakan disiplin semasa menganggotai tentera kerana menggerakkan penubuhan pasukan revolusi dalam pasukan tersebut.

Pada tahun 1967, ketika baru berusia 27 tahun, Gaddafi yang berpangkat kapten muncul mengetuai sekumpulan pegawai tentera yang menggulingkan Raja Idris. Bermula dari saat itu, Gaddafi yang terkenal sama ada dengan pakaian tentera atau jubah Badawinya mengambil alih kuasa – dan menjadi simbol anti-Barat di kalangan negara-negara Dunia Ketiga.

Sejak mula memegang tampuk kuasa, Gaddafi menampakkan kegarangannya. Dia melakukan banyak pembaharuan. Pangkalan tentera Amerika Syarikat di Libya ditutup. Lebih 20,000 tentera Itali yang masih ditempatkan di negara itu selepas pendudukan 1911-41 dihantar pulang. Sektor perniagaan dimilik negarakan. Libya diisytiharkan sebagai ‘Jamahiriya’, atau ‘republik rakyat’. Jawatankuasa rakyat dibentuk di peringkat kerajaan tempatan dan ia bertanggungjawab pada ‘Kongres Rakyat’, sebuah badan yang berperanan seperti parlimen.

Gaddafi mengetuai kerajaan tanpa satu bentuk perlembagaan khusus, sebaliknya dia berpandukan ‘Buku Hijau’ yang mengandungi idea-idea dan falsafah politiknya sendiri.

Ada lagi, dia juga menabalkan dirinya sebagai kolonel, kedudukan paling tinggi dalam angkatan tentera.

Kumpulan penentang Gaddafi meraikan kejayaan

Seperti kebanyakan diktator, Gaddafi memastikan tiada siapa boleh menyainginya dan di bawah pemerintahannya juga tidak terdapat sebarang sistem yang jelas mengenai bakal penggantinya. Hanya pada tahun-tahun kebelakangan dia dikatakan membentuk salah seorang anaknya Seif al-Islam, yang berpendidikan Barat, sebagai bakal pengganti.

Dalam menyuarakan pendapat, Gaddafi berpegang penuh pada prinsip kebebasan bersuara. Dia melontarkan pandangannya tanpa tapisan. Dia mengkritik Liga Arab kerana gagal memainkan peranan dalam konflik Palestin-Israel dan juga dalam menangani konflik di Iraq. Dan dia juga tidak pernah teragak-agak mengkritik kuasa-kuasa besar dunia, khususnya Amerika Syarikat.

Tetapi agak malang, di dalam negara sendiri, Gaddafi tidak menghormati prinsip kebebasan bersuara itu. Mulut rakyat dipekup. Kerajaan pimpinannya mengharamkan sebarang pergerakan atau pertubuhan pembangkang. Ramai yang membuka mulut dihumban ke penjara.

Namun pada tahun 1988, Gaddafi memeranjatkan umum apabila bertindak membebaskan tahanan-tahanan itu. Dia sendiri memandu bulldozer untuk meranapkan tembok penjara Tripoli bagi tujuan pembebasan tersebut.

Ironinya tindakan itu tidak pula membawa Libya ke era baru. Rakyat terus dikekang daripada bangkit menyuarakan pendapat yang bertentangan dengan semangat dan roh kerajaan.

Di sebalik cengkamannya, perkara yang tidak boleh disangkal ialah Gaddafi membelanjakan hasil minyak Libya yang melimpah ruah itu untuk pembangunan negara. Terlalu banyak sekolah, rumah sakit, rumah-rumah kediaman dan infrastruktur dibina di Libya dengan skala yang diakui oleh kebanyakan penganalisis politik dan ekonomi ‘sebagai tidak pernah dilihat dilaksanakan oleh mana-mana negara lain di Mediterranean.

Dengan perkataan lain, banyak pihak mengakui, Gaddafi membawa Libya keluar dari kelompok salah sebuah negara paling mundur dan miskin ke sebuah negara ‘maju’ mengikut ukuran di benua Afrika.

Bagaimanapun kesilapan Gaddafi ialah agihan kekayaan minyak itu tidak sampai ke akar umbi secara sama rata. Lebih satu pertiga penduduk Libya hidup dalam kemiskinan walaupun sebelum meletusnya perang saudara enam bulan lalu negara itu menghasilkan hampir 1.6 juta tong minyak sehari.

Ketidaksamaan agihan kekayaan juga boleh dilihat apabila kebanyakan hasil kekayaan negara hanya dinikmati oleh wilayah-wilayah tertentu, misalnya ibu negara, Tripoli sedangkan bahagian-bahagian lain, seperti di timur – tempat bangkitnya gerakan pemberontakan – tercicir jauh di belakang.

Lama berkuasa juga menjadikan Gaddafi terlepas pandang pada banyak perkara, termasuk menyangka dirinya masih popular sedangkan bibit-bibit penentangan yang tersemai sejak lama terus membara ibarat api di dalam sekam.

Dan apabila api itu marak, dia sudah tidak sempat berbuat apa-apa.

Dua perkara yang boleh dipelajari daripada naik dan jatuhnya Gaddafi ialah, pertama, pemerintah, di mana pun juga tidak harus alpa walau sedikit pun dalam menangani kehendak dan keperluan rakyat kerana kesilapan-kesilapan kecil, apatah yang besar, jika dilakukan secara berterusan, boleh membawa padah.

Pengajaran kedua yang harus direnung, ialah tidak semua revolusi, reformasi atau apa juga seumpamanya, akan membawa rakyat ke syurga dalam erti kata sebenar. Gaddafi, semasa mula mengambil alih kuasa, menjanjikan langit dan bumi kepada rakyat Libya. Tetapi bagaimana penghujungnya?

“Dia bercita-cita membina sebuah negara yang ideal, tetapi dia menjadikan Libya sebuah negara yang tidak memiliki komponen-komponen untuk melayakkannya menjadi negara dalam erti kata sebenar. Sesungguhnya kuasa rakyat adalah sistem yang palng tidak berguna di dunia. Ia sering menukarkan revolusi menjadi gerakan mengumpulkan harta kekayaan,” kata Saad Djebbar, seorang penganalisa dari Universiti Cambridge.

Tiada ulasan: