Rabu, 3 Ogos 2011

Dr Rosti letak jawatan Naib Canselor Unisel

THE MALAYSIAN INDSIDER

SHAH ALAM — Datuk Dr Rosti Saruwono mengambil keputusan meletakkan jawatan selaku Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) dengan notis 24 jam berkuat kuasa esok.

Beliau mengesahkan peletakan jawatannya menerusi khidmat pesanan ringkas sebagai membalas SMS yang dihantar oleh Bernama bagi mendapatkan pengesahan berita tindakannya itu.

“Ada keputusan yang saya tak sanggup laksanakan iaitu untuk melucutkan jawatan tiga pegawai Unisel tanpa proses sewajarnya,” katanya dipetik Bernama Online.

Menurut sumber, Rosti (gambar) telah diarahkan oleh kepimpinan Unisel untuk melucutkan jawatan tiga pegawai iaitu Pendaftar Rokmaa Mat, Dekan Fakulti Perniagaan Prof Dr Khalifah Othman dan Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat Halid Hasbullah.

Berasal dari Klang, Selangor, Rosti pernah berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Bahagian Pendidikan Petronas dan rektor pertama Universiti Teknologi Petronas sebelum dilantik sebagai Naib Canselor Unisel pada 2 Mac 2009.

Beliau menggantikan Prof Datuk Dr Mohd Razali Agus yang mengosongkan jawatan itu pada Julai 2008.

Semasa dilantik, Rosti berkata beliau tidak akan menjadi “Pak Turut” kepada mana-mana pihak dan ingin memastikan institusi pengajian tinggi swasta milik kerajaan negeri itu tidak dijadikan medan berpolitik.

Tiada ulasan: